Pegawai Yapeim masih bos selepas ugut kakitangan jangan undi PH

Abibullah Samsudin dilihat bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pegawai tinggi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang secara terbuka menggesa kakitangannya tidak mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum tahun lalu masih mengetuai agensi kerajaan itu.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Mohd Daud Bakar mengesahkan kepada FMT, lelaki dalam satu rakaman video viral yang memberi amaran kepada kakitangan Yapeim untuk tidak mengundi PH ialah Ketua Pengarahnya, Abibullah Samsudin.

Katanya, ia adalah “video lama”.

Abibullah gagal dihubungi FMT untuk mengulas tindakannya.

Tetapi, ada komen di Facebooknya yang menggesa beliau meletak jawatan, sehari selepas rakaman menunjukkannya bercakap kepada kakitangan Yapeim dimuat naik ke media sosial oleh seorang pendakwah popular yang merupakan ahli PPBM, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Abibullah Samsudin dilihat memberi amaran kepada kakitangan Yapeim supaya tidak mengundi PH dalam satu rakaman video tidak bertarikh.

“Anda tidak sesuai mengetuai Yapeim. Tolong letak jawatan,” menurut satu catatan manakala satu lagi catatan berbunyi: “Muka tebal ke tu?”

Dalam klip video itu, Abibullah memberi amaran kepada kakitangannya supaya tidak menyokong PH, gabungan 4 parti yang memenangi pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

Apabila ada di kalangan hadirin yang memberitahunya undi mereka adalah rahsia, Abibullah berkata: “Saya akan cek dengan SPR (Suruhjaya Pilihan Raya) semua staff 1,401. Saya akan cek satu persatu di mana anda undi dan anda undi apa.

“Kalau ada mengundi Pakatan Harapan, anda tak layak duduk di Yapeim,” katanya dalam klip video itu sambil menambah beliau akan disingkirkan kerajaan baru.

Pendedahan video itu berlaku ketika yayasan itu berdepan dakwaan salah pengurusan kewangan, termasuk dana RM1 juta bagi anak yatim yang didakwa digunakan Yapeim untuk membayar yuran guamannya.