Polis berkas 3 suspek, disyaki rancang serang Malaysia, Indonesia

Seorang warga Indonesia (gambar kiri) dan 2 warga tempatan yang diberkas dalam operasi susulan polis.

PETALING JAYA: Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman memberkas 3 suspek disyaki terlibat dalam memberi sokongan kepada IS dan merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia dan Indonesia.

Dua warga Malaysia dan 1 warga Indonesia itu ditangkap dalam operasi susulan selepas tangkapan 4 suspek kumpulan IS baru-baru ini, yang mahu membalas dendam terhadap kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, selain merancang melakukan serangan ke atas rumah ibadat dan pusat hiburan.

Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan ditangkap di Kuala Muda, Kedah ketika menyerah diri hasil kerjasama keluarga masing-masing.

“Syazani disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam di Malaysia, dengan menggunakan kaedah serangan bom bunuh diri,” kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

“Kedua-dua suspek juga dikesan melakukan tinjauan ke atas beberapa gereja di sekitar Yogyakarta, Indonesia untuk melancarkan serangan.”

Mereka bersama Muhammad Izham Razani – yang ditangkap pada 22 November tahun lepas – pernah menjalani latihan membuat bom di Yogyakarta, Indonesia tahun lepas, yang dikendalikan oleh kumpulan militan, Jemaah Ansharut Daulah Indonesia.

Menurut polis, mereka mempelajari keadah menghasilkan triacetone triperoxide (TATP), “sejenis bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan letupan berskala besar dan bom kenderaan”.

Sementara itu, Nuruddin Alele @ Fatir Tir, seorang warga Indonesia, ditgangkap di Banting, Selangor hasil maklumat orang awam.

Suspek merupakan anggota sel IS yang ditangkap pada 5 dan 7 Mei lepas, serta terlibat dalam rancangan untuk melakukan operasi pembunuhan dan serangan ke atas rumah-rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan di Lembah Klang.

“Suspek terdedah dengan ideologi IS semasa menjalani hukuman penjara selama 5 tahun di Surabaya, Indonesia.”

Mereka disyaki melakukan kesalahan bawah Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan dan Kanun Keseksaan, dan disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) atau Sosma.