Putrajaya tak hukum ketua pengarah Yapeim larang kakitangan undi PH

Fuziah Salleh berkata, Abibullah Samsudin hanya akan dinilai berdasarkan prestasi kerjanya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, tiada tindakan akan diambil terhadap ketua pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), susulan klip video menunjukkan beliau memberi amaran kepada kakitangannya tidak mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Katanya, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan kebelakangan terhadap Abibullah Samsudin atau penjawat awam lain atas kesetiaan politik mereka sebelum pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018.

“Kita perlu adil kepada mereka dan memberi mereka peluang untuk membuktikan diri dari segi prestasi. Kita tidak boleh menghukum mereka kerana tidak setia kepada PH sebelum ini,” katanya kepada FMT hari ini.

Ahli PPBM, Abu Hafiz Salleh Hudin sebelum ini berkongsi satu rakaman video menunjukkan Abibullah memberi amaran kepada kakitangan agensi kerajaan itu supaya tidak mengundi PH.

“Kalau ada mengundi Pakatan Harapan, anda tak layak duduk di Yapeim,” katanya dalam klip video itu.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Mohd Daud Bakar dilapor mengesahkan lelaki itu ialah Abibullah.

Pendedahan video itu berlaku ketika Yapeim berdepan dakwaan salah pengurusan kewangan, termasuk dana RM1 juta bagi anak yatim yang didakwa digunakan yayasan itu untuk membayar yuran guamannya.

Fuziah berkata, penjawat awam bebas menyokong mana-mana parti politik di bawah kerajaan PH.

“Kami tidak mengharapkan orang berkempen untuk kami, tetapi di tempat kerja, kami mahu mereka bertindak profesional.”

Katanya, Abibullah hanya akan dinilai berdasarkan prestasi kerjanya.

“Jika ada sebarang tindakan terhadap mana-mana penjawat awam, sama ada di Yapeim atau agensi lain, ia akan berdasarkan prestasi kerja mereka dan bukannya kecenderungan politik.”

Abibullah dilantik sebagai ketua pengarah Yapeim sejak 2014.