SPR sedia bincang larangan guna aset kerajaan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia berbincang dengan kerajaan atau mana-mana pihak bagi meneliti larangan penggunaan aset-aset kerajaan dan anggota pentadbiran untuk berkempen pada waktu pejabat ketika pilihan raya.

Pengerusi Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata ini bagi memastikan SPR mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk menambahbaik proses-proses perjalanan pilihan raya.

Katanya, tindakan tersebut selaras dengan proses kerja libat urus dan keterbukaan SPR untuk mendapatkan input dan pandangan daripada semua pihak terutamanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya.

“Fokus utama SPR adalah untuk membentuk satu proses pilihan raya yang adil kepada semua pihak dan ia berjalan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peraturan SPR yang melarang anggota jemaah menteri menjalankan aktiviti kempen sewaktu bekerja pada pilihan raya, yang disifatkan memberi kesan kepada pentadbiran.

Mengulas lanjut, SPR juga mengambil pelbagai tindakan untuk menambah baik proses pilihan raya dan sedang melihat secara menyeluruh reformasi yang boleh dilaksanakan.

“Dalam konteks tersebut, penambahbaikan terhadap proses-proses penjalanan pilihan raya yang tidak melibatkan pindaan undang-undang telah pun dilaksanakan, manakala yang melibatkan pindaan undang-undang pula, ianya perlu kepada penelitian dan kajian lanjut oleh SPR.

“Bagi melaksanakan penambahbaikan tersebut, SPR melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi sosial, agensi-agensi kerajaan dan juga organisasi-organisasi antarabangsa,” katanya.