Sultan Johor kecam pemimpin DAP cabul kesucian masjid

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pentadbir masjid yang menyediakan platform kepada ahli politik menjalankan aktiviti mereka di masjid. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengecam tindakan seorang pemimpin DAP yang didakwa mencabul kesucian masjid dan menggugat kedudukan Islam di negeri itu.

Sultan Ibrahim berkata, tindakan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong yang berucap di Masjid Tenang Stesyen pada 10 Mei lalu mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam di Johor.

“Ia merupakan pelanggaran sempadan saya sebagai ketua agama Islam Johor yang sudah gariskan sebelum ini, apatah lagi larangan ini baru sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor.

“Pelanggaran dan pencabulann tersebut satu tindakan biadap dan tidak beretika pihak tertentu, ia tidak boleh diterima sama sekali kerana ia jelas meremahkan pegangan dan amalan agama Islam di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim percaya, pemimpin DAP itu dan pihak berkepentingan lain akan menafikan penglibatan mereka berucap berkaitan politik di masjid berkenaan.

Tegasnya, masjid dan surau tidak dibenarkan untuk aktiviti politik kerana banyak aktiviti anjuran individu mewakili parti politik sering-kali dikaitkan dengan adu domba, fitnah dan medan meraih simpati masyarakat.

“Anda boleh sahaja bercakap politik dan berbeza pegangan politik dari pagi hingga malam, dari kedai kopi ke hotel, dari tepi jalan ke puncak gunung bagi meraih sokongan, tapi bukan di dalam masjid yang suci itu.

“Saya telah ingatkan dengan baik, saya sudah sebut dalam nada tegas tetapi saya amat kecewa kerana masih ada rakyat Johor yang melanggarnya,” katanya.

Tambah Sultan Ibrahim, tindakan itu diambil bagi memastikan keharmonian, kesefahaman dan perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri Johor terus wujud dan mengelakkan perpecahan.

“Saya bertanggungjawab memastikan kesucian masjid di Johor. Saya mempunyai hak dan kuasa menentukan kaedah dan mekanisma bagi memastikan masjid di Johor sentiasa dilimpahi dengan keredaan dan keampunan Allah tanpa hiruk-pikuk politik.

“Ini selaras dengan kehendak Fasal 96(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) Tahun 2003. Saya tidak mahu episod perbalahan dalam kalangan umat Islam yang berlainan pegangan parti bermula daripada masjid,” katanya.

Sultan Ibrahim turut menggesa Majlis Agama Islam Negeri Johor mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pentadbir masjid yang menyediakan platform kepada ahli politik menjalankan aktiviti mereka di masjid.

“Tindakan pihak selain saya dan pihak berkuasa agama Islam Johor memberi izin penggunaan masjid kepada ahli politik dan penganjur-penganjurnya akan membawa implikasi bahawa pihak tersebut membuat tindakan melangkaui bidang kuasa kerana melanggar peraturan berkaitan dikuatkuasakan di negeri ini,” katanya.

Nafi beri ucapan politik

Sementara itu, Pang menafikan memberikan ucapan berunsur politik seperti didakwa di media sosial. Sebaliknya menjelaskan tujuannya hadir ke masjid berkenaan untuk mengumumkan peruntukan RM1,000 sempena bulan Ramadan.

Jelas Pang, beliau memutuskan untuk memperuntukkan RM1,000 kepada setiap masjid dan RM500 kepada setiap surau di kawasan Parlimennya, menggunakan peruntukan diperolehinya sebagai ahli Parlimen.

Katanya, beliau diminta untuk masuk ke dalam masjid selepas pengumuman peruntukan itu dibuat secara umum. Sedangkan sebelum itu beliau berada di luar masjid bersama orang bukan Islam lain.

Menurut Pang, beliau dijemput masuk ke dalam masjid di mana beliau hanya berterima kasih kepada komuniti masjid kerana memuji usahanya.

“Jika lihat semula, tidak ada ucapan. Saya tidak berikan ucapan atau membuat ucapan berunsur politik,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya tindakannya itu dipertimbangkan sebagai ucapan.