Taman Rimba Kiara: Khalid kecewa, malu sikap aktivis buat tuduhan melulu

Khalid Samad (kiri) ketika di sidang media khas berhubung isu projek Taman Rimba Kiara, hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad kecewa dengan aktivis S Ambiga dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berhubung kenyataan yang dikeluarkan di media mengenai projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Beliau berkata Ambiga dan Cynthia sepatutnya berjumpa dengannya dulu untuk mendapatkan maklumat penuh daripada membuat tuduhan yang tidak berasas.

“Saya tidak tahu berapa banyak anda jumpa penduduk Taman Rimba Kiara, tetapi anda tidak langsung membuat temu janji untuk berjumpa dengan saya walaupun seminit.

“Macam mana boleh komen selepas dengar pandangan satu pihak sahaja. Ini sangat mengecewakan dan memalukan,” katanya dalam satu sidang media khas di Kementerian Wilayah Persekutuan.

Semalam, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata isu projek pembangunan di Taman Rimba Kiara perlu diteliti oleh Peguam Negara, Tommy Thomas sebelum ia dibawa dan diputuskan di Kabinet kerana terdapat banyak konflik kepentingan.

Hannah berkata, konflik kepentingan berkenaan dinyatakan menerusi laporan yang dihantar C4 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hannah mengadakan satu sidang media mengenai projek Taman Rimba Kiara yang turut dihadiri Ambiga dan Cynthia di Pusat C4 semalam.

Cynthia Gabriel berkata, pihaknya sedang menunggu perkembangan terbaru daripada pihak SPRM berhubung laporan yang dibuat pihaknya.

Cynthia berkata laporan dihantar pada 27 Mac lepas dan setakat ini belum ada perkembangan diterima dan SPRM mengambil masa yang begitu lama.

Kementerian beri pandangan sebelum ke Kabinet

Khalid berkata Hannah tidak perlu bimbang kerana sebelum isu projek Taman Rimba Kiara di bawa ke Kabinet, ia akan beri peluang kepada semua kementerian, termasuk Tommy untuk memberi pandangan.

Khalid juga menafikan tujuan projek itu diteruskan kerana mahu berpihak kepada pemaju.

Beliau juga membidas hujah yang menyatakan perlu hentikan projek itu kerana ia dibawa oleh pimpiman terdahulu iaitu bekas menteri wilayah, Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Kalau macam itu baik ECRL, LRT, dan MRT juga dimansuhkan.

“Saya hanya mahu menyelamatkan duit awam dan tidak mahu menyalahgunakan duit DBKL. Duit DBKL bukan duit saya,” katanya merujuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemaju juga berjanji tidak akan menjalankan pembangunan di taman kawasan tersebut.

Satu sesi taklimat akan dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Segambut di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Sabtu ini bagi membolehkan penduduk mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan terkini isu berkenaan.

Projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila pada DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega pada April 2017 di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan 1 blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.