Tribunal akan putuskan jika ia boleh bicara salah laku bekas ahli SPR

Sebahagian daripada bekas ahli SPR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tribunal 5 hakim akan memutuskan pada Jumaat depan jika ia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan 6 bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya atas dakwaan salah laku dalam mengadakan pilihan raya umum ke-14.

Peguam, R Kengadharan yang mewakili seorang daripada bekas ahli SPR itu, Leo Chong Cheong berkata beliau menerima surat daripada sekretariat tribunal itu Jumaat lalu.

“Kami akan tahu sama ada prosiding untuk membicarakan bekas ahli SPR itu akan diteruskan atau ia menjadi isu akademik,” katanya kepada FMT.

Pada 1 April lalu, pengerusi tribunal itu, Steve Shim dilaporkan berkata panel itu akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membuat keputusan selepas mendapat respons bercampur-campur daripada Peguam Negara, Tommy Thomas dan peguam sama ada mahu menghantar laporan kepada Yang di-Pertuan Agong atau membuat pengumuman kepada orang ramai.

Tribunal itu turut dianggotai Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan dan Prasad Sandosham Abraham.

SPR dikritik Pakatan Harapan dan badan bukan kerajaan yang mendakwanya memihak kepada Barisan Nasional pada PRU14 pada 9 Mei 2018.

Sebanyak 13 dakwaan dilemparkan terhadap Leo, bekas timbalan pengerusi SPR, Othman Mahmood dan bekas ahli, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi dan K Bala Singam berhubung peranan mereka dalam menyediakan laporan persempadanan semula penuh kontroversi dan cara PRU14 dijalankan.

Thomas berkata, 6 bekas ahli SPR itu perlu dibicarakan atas dakwaan salah laku kerana mereka hanya meletak jawatan selepas Agong meluluskan penubuhan tribunal itu pada Disember lalu.

Katanya, prosiding itu bukan akademik kerana tribunal itu boleh mengesyorkan kepada Agong yang pencen mereka atas perkhidmatan di SPR boleh dibatalkan.

Bagaimanapun, peguam mereka berkata, bekas ahli SPR tidak patut dibicarakan kerana Agong sudah meluluskan permohonan mereka untuk memendekkan tempoh perkhidmatan mereka.

Mereka berkata, Thomas tidak mengeluarkan sebarang surat penggantungan terhadap anak guam mereka selepas kelulusan diberikan untuk penubuhan tribunal itu.

Pendengaran itu dicemari kontroversi selepas Thomas menamatkan khidmat peguam, M Puravalen kerana ingkar.

Puravalen yang dilantik sebagai pegawai pengendali, memberitahu tribunal itu pada 28 Januari lalu yang prosiding itu tidak boleh diteruskan kerana 6 pesuruhjaya itu sudah meletak jawatan.

Thomas memecat Puravalen 2 hari kemudian.

“Saya ialah anak guam dan boleh menentukan pilihan peguam saya kerana tiada peguam mempunyai jaminan tempoh perkhidmatan,” katanya kepada tribunal.