Undian bunuh diri mungkin langgar garis panduan, kata Instagram

BBC melaporkan Instagram mempunyai cara untuk mengesan pemikiran ‘membahayakan diri’ dengan catatan tertentu akan dipadamkan dan sokongan diberi berdasarkan kesesuaian.

PETALING JAYA: Seorang eksekutif Instagram memberitahu satu inkuiri yang diadakan Jawatankuasa Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan Parlimen United Kingdom di Westminster mengenai undian menyebabkan seorang remaja di Sarawak membunuh dirinya beberapa jam selepas pengguna ditanya sama ada beliau patut hidup atau mati, mungkin melanggar garis panduan syarikat itu.

Ketua dasar awam Instagram, Karina Newton ditanya perkara itu bersama ketua produk syarikat terbabit, Vishal Shah.

Berdasarkan laporan BBC, 2 individu itu ialah sebahagian daripada inkuiri ke atas teknologi menagihkan dan melekakan.

Media melaporkan mangsa terjun dari tingkat atas sebuah rumah kedai selepas 69% responden memintanya memilih “mati”.

Polis Sarawak berkata, remaja perempuan itu memuat naik soalan “Sangat penting, bantu saya pilih D/L”, beberapa jam sebelum beliau membunuh diri pada 13 Mei lalu.

Menurut laporan BBC itu, Instagram mempunyai cara untuk mengesan pemikiran “membahayakan diri” dengan catatan tertentu akan dipadamkan dan sokongan diberi berdasarkan kesesuaian.

Bagaimanapun, Shah berkata, ia satu cabaran kerana cara pengguna menyuarakan isu kesihatan mental “sentiasa berubah”.

“Kami melihat secara mendalam sama ada produk, yang seimbang, sepadan jangkaan yang kami cipta dengannya.

“Dan jika, dalam kes seperti catatan undian ini, kami menemui lebih banyak bukti di mana ia tidak sepadan dengan jangkaan…kami sedang mengkaji sama ada kami perlu membuat beberapa perubahan dasar.”

Tetapi, walaupun Newton dan Shah mengesahkan pasukannya sedang mengkaji jenis pelanggaran kandungan, mereka enggan mengulas langkah yang mungkin diambilnya.