Bekas penyanyi rap AS mengaku tak bersalah biaya kempen Obama

Bekas penyanyi rap Fugees, Prakazrel ‘Pras’ Michel.

WASHINGTON: Bekas penyanyi rap Fugees, Prakazrel “Pras” Michel mengaku tidak bersalah pada Khamis atas pertuduhan jenayah berkomplot menyalurkan dana asing bagi pemilihan semula Barack Obama sebagai presiden pada 2012.

Michel berkata, beliau tidak bercadang mengaku bersalah jika ada tawaran daripada pihak pendakwaan dan “semua isu dinyatakan di sini” akan ditangani dalam album barunya yang memuatkan 9 lagu.

“Saya tidak bersalah dan peguam saya akan menguruskan seluruh perbicaraan dan kami akan patuh sepenuhnya,” katanya selepas tampil di Mahkamah Daerah Columbia di Amerika Syarikat.

“Lebih penting lagi, saya mahu semua orang faham yang saya sedang membuat EP ‘Elon Musk’ saya. Ia akan dikeluarkan bulan depan. Saya fokus sepenuh padanya.”

Minggu lalu, Jabatan Kehakiman mendedahkan pertuduhan terhadap Michel dan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low atas dakwaan berkomplot untuk membiayai kempen Obama pada 2012. Ia adalah jenayah bagi warga asing memberi sumbangan politik dalam pilihan raya tempatan, negeri atau persekutuan.

Pendakwa raya persekutuan berkata, dana asing lebih AS$21 juta disalurkan Jho Low kepada pilihan raya dengan sebahagian dana itu dijadikan sumbangan kempen sah melalui penderma lain yang menggunakan nama Michel.

Michel mengaku tidak bersalah di depan Hakim mahkamah daerah, Colleen Kollar-Kotelly.

Peguamnya, Barry Pollack memberitahu hakim mengenai rancangannya memfailkan usul untuk menolak dakwaan itu dan membantah tindakan pendakwa raya mendakwa anak guamnya selepas had 5 tahun tamat.

Michel kekal bebas dengan ikat jamin dan dibenarkan pulang ke rumahnya di California serta Florida.

Walaupun beliau memohon kebenaran untuk tidak menghadiri beberapa pendengaran kurang substantif, Kollar-Kotelly memberi amaran kepada Michel yang beliau perlu aktif dalam membela dirinya.

Jho Low belum dikesan kedudukannya dan turut dikehendaki AS dalam satu kes berasingan berhubung skandal berbilion dolar dana 1MDB.

Seorang jurucakap Jho Low sebelum ini memberitahu Reuters beliau tidak bersalah dalam kes penipuan pilihan raya.