Hentikan insentif tunai tangkap tikus sebelum kesan terbalik timbul

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) baru-baru ini melancarkan program baru untuk mengurangkan populasi tikus di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Program Basmi Tikus dan Burung Gagak akan membayar orang awam RM1 untuk setiap tikus yang dihantar kepada MBIP. Tetapi, program ini bukan sahaja tidak akan berjaya mengurangkan bilangan tikus di dalam kawasan MBIP, tetapi akan memburukkan keadaan lagi.

New Delhi pernah dibelenggu masalah ular tedung dan Majlis Perbandaran New Delhi melancarkan program insentif tunai kepada orang awam untuk menangkap reptilia itu.

Tetapi, segelintir penghuni metropolis itu mula membela ular tedung untuk dijual kepada PBT bagi mendapatkan wang. Program itu dihentikan selepas PBT tahu mengenainya. Penghuni yang kecewa bertindak melepaskan ular tedung yang dibela menyebabkan masalah itu lebih teruk berbanding dahulu.

Perkara ini diterangkan dalam banyak buku ekonomi dan pentadbiran awam yang dikenali sebagai “The Cobra Effect”.

Bandaraya Hanoi pernah melancarkan program sama seperti MBIP, di mana PBT itu membayar orang ramai untuk mengawal populasi tikus. Tetapi, pihak tidak bertanggungjawab mula membiak tikus untuk dijual kepada PBT dan menyebabkan masalah di Hanoi lebih serius.

Hanya sebilangan kecil individu tidak bertanggungjawab akan memburukkan masalah tikus di sesebuah kawasan kerana haiwan perosak itu mengambil masa singkat untuk membiak.

Tempoh penghamilan tikus ialah 20 hari dan seekor tikus betina boleh melahirkan 14 anak. Seekor tikus betina boleh hamil 10 kali setahun dan purata jangka hayat seekor tikus ialah 2 tahun. Tikus betina boleh hamil seawal usia 5 minggu.

Bayangkan bagaimana tindakan sebilangan kecil individu tidak bertanggungjawab membiak tikus untuk insentif tunai boleh menyebabkan pembiakan tikus di sesebuah kawasan menjadi tidak terkawal dalam masa singkat.

Iskandar Puteri merupakan sebuah bandaraya penting dan pusat pentadbiran kerajaan Johor. Kota Ilmu Educity yang menempatkan beberapa cawangan universiti terkemuka United Kingdom serta sekolah persendirian berprestij UK, Amerika Syarikat dan Kanada. Ia turut mempunyai beberapa tarikan pelancongan terkemuka seperti Legoland dan Puteri Harbour.

Bayangkan kesan kepada Iskandar Puteri, sekiranya masalah pembiakan tikus menjadi tidak terkawal.

Seorang ahli falsafah terkenal pernah berkata: “Mereka yang tidak mengambil pedoman daripada sejarah pasti akan mengulangi kesilapan sama.”

Sejarah moden pentadbiran kerajaan tempatan menunjukkan program insentif tunai untuk menangkap haiwan perosak seperti tikus tidak akan berjaya membendung masalah itu, sebaliknya ia akan memburukkan masalah.

MBIP perlu menghentikan program insentif tunai kepada orang awam untuk menangkap tikus sebelum masalah itu tidak terkawal.

Wong Yao Hing ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.