Kerajaan sasar 10 tahun perbaiki kepincangan dalam negara

Muhyiddin Yassin.

MUAR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyasarkan seawal 10 tahun bagi memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam negara terutama dari segi penguasaan ekonomi dalam kalangan masyarakat.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata dengan adanya inisiatif “Kemakmuran Bersama” yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, tidak akan ada satu kelompok dalam masyarakat pun, tidak kira datang dari mana pun, akan tertinggal, terbiar, tidak mencapai kemajuan, miskin, hidup papa dan susah.

“Maka sebab itulah, dengan adanya pandangan baru (Kemakmuran Bersama) yang telah dikemukakan, kerajaan kita harap dalam tempoh 10 tahun, seawal-awalnya 10 tahun, kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dan negara, terutama dari segi penguasaan ekonomi akan dapat kita perbaiki,” kata beliau pada program sempena Ramadan di luar Masjid Jamek Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil hari ini.

Muhyiddin berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu memperlihatkan kerajaan memahami akan tanggungjawab memastikan tahap penguasaan ekonomi dalam negara dapat dilakukan menerusi pertandingan yang sihat.

“Supaya nanti tidak adalah kelompok yang maju dan dapat menguasai satu bidang yang jauh ke hadapan dan ada satu kelompok, kumpulan dalam masyarakat yang terpaksa tinggal jauh di belakang,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Beliau mengingatkan rakyat agar sedar dengan tugas dan tanggungjawab yang masih besar terutamanya masyarakat Islam supaya meningkatkan semangat bekerja serta mengambil peranan dan tanggungjawab agar tidak ketinggalan.

Muhyiddin berkata, meskipun pelbagai kejayaan dicapai umat Islam di negara ini, masih banyak lagi usaha dan kejayaan yang boleh dicapai dalam pelbagai bidang.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim.