Lelaki Nigeria direman 7 hari dalam kes bunuh jururawat

Lelaki Nigeria berusia 30-an ini dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini untuk permohonan perintah remah. (Gambar Bernama)

SEPANG: Seorang lelaki warga Nigeria direman 7 hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang ditemui mati di sebuah kondominium di Cyberjaya Rabu lalu.

Perintah reman mulai hari ini dikeluarkan Majistret A Akhiruddin @ Boy Acho selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Sepang.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Warga Nigeria berumur 30-an itu ditahan polis di tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Dia ditahan susulan tangkapan ke atas seorang wanita Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan semalam di Cheras serta Setapak, di mana kedua-duanya direman 7 hari bermula semalam berhubung kes sama.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.