Maszlee puji pejuang alam SJK(T) Sg Ara, seru sekolah mencontohinya

Maszlee mendukung seorang murid, Thiresha Putran a/l Pandithan, 5, kerana gembira dengan pencapaian SJK(T) Sungai Ara. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Menteri Pendidikan Mazlee Malik hari ini memuji sebuah sekolah Tamil kerana memperjuangkan pemuliharaan alam dan persekitaran lestari, menyeru sekolah-sekolah lain mengikuti langkahnya.

Dalam lawatannya ke SJK(T) Sungai Ara hari ini, beliau terkejut apabila ibu bapa memberitahunya anak-anak mereka payah pulang ke rumah kerana seronok bersekolah.

Maszlee berkata sekolah Tamil itu juga bersebelahan sebuah sekolah agama dan kerap menjalankan aktiviti bersama.

“Sangat mengagumkan. Bukan sahaja sekolah itu memenuhi 8 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari PBB, ia juga menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan menerusi penggunaan teknologi terbaru.

“Mereka juga bersebelahan sebuah sekolah agama, mendokong aspirasi sebuah negara harmoni.

Maslzee menyambut murid-murid SJK(T) Sungai Ara bersama Pengetua Sangga Sinniah (kanan, bertali leher). (Gambar FB Maszlee)

“Kementerian menganggap sekolah ini model kepada sekolah-sekolah lain, dengan tumpuan pada kegembiraan, kasih sayang dan hormati-menghormati dalam sistem pendidikan,” katanya.

Maszlee memuji Pengetua Sangga Sinniah dan 20 guru di sekolah itu kerana mewujudkan persekitaran yang sangat baik untuk murid-murid belajar, dan negara berbangga dengan sekolah itu.

Bulan lepas, FMT melaporkan murid-murid SJK(T) Sungai Ara menunjuk perasaan menggesa kerajaan mengambil serius perubahan iklim.

Maszlee bersama murid-murid SJK(T) Sungai Ara. (Gambar FB Maszlee)

Murid-murid seramai 130 orang itu aktif terlibat dalam pelbagai projek, termasuk perkebunan organik di tanah rizab sungai terbiar berdekatan sekolah. Kebun itu menjana RM600 setiap bulan untuk sekolah itu.

Disamping aktiviti-aktiviti tambahan itu, SJK(T) Sungai Ara muncul sebagai salah satu sekolah cemerlang di Pulau Pinang dari segi keputusan akademik, dengan kadar lulus 86% tahun lepas.

Maszlee mengumumkan dana RM20,000 daripada kementerian untuk membantu penyelenggaraan dan inisiatif alam sekolah itu, dan buku-buku bernilai RM4,000 disumbangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia kepada perpustakaan sekolah.