Menteri, NGO sedih dengan pemergian SM Idris

SM Mohamed Idris meninggal dunia pada usia 93 tahun. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pemergian pejuang hak pengguna terkenal, SM Mohamed Idris sebagai kehilangan besar kepada gerakan kepenggunaan kerana beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan keberaniannya.

Katanya, beliau sempat menemui Idris sebanyak 3 kali untuk mendapatkan pandangan dan nasihatnya berkaitan isu pengguna, sejak dilantik sebagai menteri tahun lalu.

“Sumbangan Idris sangat besar, ia akan terpahat dalam sejarah gerakan pengguna di Malaysia. Beliau berjaya mengetengahkan banyak isu pengguna.

“Pertemuan terakhir saya dengannya di kediamannya Januari lalu. Pertemuan itu bertujuan meminta nasihat dan pandangannya dalam saya menjalankan tugas,” katanya kepada FMT hari ini.

Idris menghembuskan nafas terakhir pada 4.45 petang tadi selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles disebabkan kesukaran bernafas.

Selain mengetuai Persatuan Pengguna Pulau Pulau sejak 1969, Idris turut mengasaskan Sahabat Alam Malaysia, Institut Masyarakat, Rangkaian Dunia Ketiga dan Citizens International.

Saifuddin berkata, nasihat terakhir Idris kepadanya berkaitan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Katanya, kesungguhan Idris memperjuangkan hak pengguna tidak pernah luntur dan beliau masih sudi menemuinya beberapa hari selepas keluar dari hospital.

“Saya akan kenang beliau sebagai guru dan pembimbing yang kaya dengan pengalaman.

“Dia selalu ingatkan kerajaan supaya berhati-hati, rundingan membabitkan topik perdagangan antarabangsa ini selalunya beri kelebihan kepada negara kuasa besar.

“Dia sering ingatkan semua perkara harus diambil kira dan tidak semua perjanjian antarabangsa itu memberikan keuntungan, jika kerajaan tidak ambil pendekatan berhati-hati.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman sedih dengan pemergian Idris yang lantang memperjuangkan kebajikan pengguna.

Katanya, walaupun sudah berusia, Idris masih giat memperjuangkan isu pengguna di seluruh negara, tidak terhad kepada Pulau Pinang.

“Banyak kenyataan beliau yang melibatkan pengguna disiarkan di media-media tanpa beliau merasa jemu meminta perubahan terhadap hak pengguna daripada pihak kerajaan.”

Katanya, semangat Idris konsisten memperjuangkan kebajikan pengguna harus dicontohi pemimpin gerakan kepenggunaan yang lain.

Penasihat Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pulau Pinang, D Kanda Kumar menyifatkan Idris sebagai individu disegani masyarakat atas keberaniannya bersuara demi hak pengguna.

“Dia hanya cakap untuk kepentingan pengguna. Ia satu kehilangan besar kepada pengguna.”