Pejuang hak pengguna terkenal SM Idris meninggal dunia

SM Mohamed Idris mengetuai Persatuan Pengguna Pulau Pinang sejak 1969.

GEORGE TOWN: Pejuang hak pengguna terkenal, SM Mohamed Idris meninggal dunia hari ini pada usia 93 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 4.45 petang tadi selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles disebabkan masalah kesukaran bernafas.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu meninggalkan 4 anak.

Bekas ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang itu yang dilahirkan di selatan India pada 6 Disember 1926, lantang menyuarakan isu pengguna dan alam sekitar yang menjejaskan Pulau Pinang.

Beliau pernah mendapat pendidikan madrasah di Tamil Nandu, India sebelum ke Pulau Pinang dengan bapanya pada 1938 dan belajar di sekolah mubaligh Kristian di negeri ini.

Beliau menyertai syarikat perkapalan bapanya, SM Mohamed Yusoff Rawther yang ditubuhkan pada 1915 dengan kira-kira 10 tongkang.

Selepas pemergian bapanya pada zaman penjajahan Jepun, Idris mengambil alih syarikat itu yang menyediakan perkhidmatan perkapalan dari Tanah Malaya hingga Myanmar.

Beliau kemudiannya menubuhkan kesatuan sekerja perkapalan yang dikenali sebagai Persatuan Laiter Pulau Pinang.

Dikenali sebagai bapa gerakan kepenggunaan, CAP menjadi persatuan pengguna paling aktif dan lantang sejak Idris mengambil alih jawatan itu pada 1969.

Selain CAP, Idris turut mengasaskan Sahabat Alam Malaysia, Institut Masyarakat, Rangkaian Dunia Ketiga dan Citizens International.

Jenazah Idris akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak pagi esok.