Permohonan SPRM batal saman beku akaun bekas ketua perisik didengar 8 Julai

Hasanah Abdul Hamid hanya menyedari akaun banknya dibekukan selepas urusan perbankannya gagal sehari selepas dibebaskan daripada tahanan reman dari 29 Ogos hingga 3 September 2018.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan agensi itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad yang mewakili SPRM berkata pihaknya memfailkan permohonan itu pada 19 April lalu.

“Alasan untuk membatalkan saman itu tidak wajar dinyatakan. Kita tunggu pendengaran permohonan kami untuk membatalkan saman itu pada 8 Julai ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya alasan membatalkan saman itu selepas pengurusan kes di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Sofian Abd Razak, hari ini.

Sementara itu, peguam, Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah berkata mahkamah juga menetapkan tarikh sama (8 Julai) untuk mendengar saman pemula berkenaan.

Bagaimanapun, peguam itu berkata mahkamah akan mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman Hasanah terlebih dahulu.

“Selepas mahkamah mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman anak guam saya, mahkamah kena buat keputusan sama ada saman berkenaan meremehkan, menyalahgunakan proses mahkamah, tidak masuk akal dan tiada locus standi.

“Ini akaun gaji orang, bukan akaun 1MDB dan bukan akaun anak syarikat 1MDB serta bukan akaun rahsia. Ini adalah akaun gaji beliau yang dibayar kerajaan. Saya tidak pernah dengar bagaimana gaji dibekukan,” katanya sambil menambah saman itu mempunyai asas kerana akaun anak guamnya dibekukan.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lalu, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan sebagai responden pertama dan ke-2, memohon perintah deklarasi yang pembekuan akaun bank bertarikh 3 September 2018 oleh timbalan pendakwa raya SPRM terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi yang pembekuan akaun itu dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa SPRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan pembekuan akaun banknya sepanjang tempoh reman dari 29 Ogos 2018 hingga dibebaskan pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika pada keesokannya (4 September 2018).

Hasanah berkata, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai terbabit menyatakan akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa agensi anti-rasuah itu.

Katanya, 5 surat dihantar kepada SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Disember 2018, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada pencen yang dimasukkan ke akaun bank itu, selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain kecuali gaji dan pencen itu.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.