Pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan dari awal

Isu pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan dari awal lagi dalam negara kita kerana ia melibatkan masa depan diri peminjam itu sendiri yang rata–rata terdiri daripada golongan muda dan belia.

Golongan muda dan belia ini harus dilatih dari peringkat awal untuk menjadi seorang manusia yang berdisplin serta bertanggungjawab untuk melunaskan segala hutang yang dimiliki oleh mereka.

Isu pinjaman pendidikan sentiasa mendapat tempat dalam negara kita berbanding dengan jenis–jenis pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau persendirian kerana ramai antara rakyat kita, khususnya generasi muda mempunyai pinjaman pendidikan bagi membantu proses pembelajaran mereka ke peringkat pengajian tinggi setelah tamatnya proses persekolahan.

Isu membabitkan pinjaman pendidikan juga sentiasa menjadi isu hangat kerana terdapat ramai peminjam golongan muda ini yang didapati liat, lewat dan gagal untuk melunaskan pinjaman pendidikan masing–masing mengikut tempoh yang ditetapkan selepas tamatnya proses pengajian mereka.

Pelbagai alasan diberikan oleh pihak peminjam yang belum lagi melunaskan hutang pinjaman pendidikan mereka. Antara alasan yang paling popular ialah belum mendapat pekerjaan lagi, jumlah pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi untuk membayar hutang, kos sara hidup masa kini yang meningkat dan pelbagai lagi.

Terdapat pelbagai jenis pinjaman pendidikan yang wujud dalam negara kita seperti pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pinjaman dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), pinjaman daripada yayasan negeri, pinjaman daripada kerajaan negeri, pinjaman daripada institusi atau organisasi tertentu serta pinjaman persendirian daripada individu.

Namun antara jenis pinjaman pendidikan yang paling popular adalah yang membabitkan isu pinjaman pendidikan PTPTN di mana lebih 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat dan bantuan menerusi penubuhan PTPTN sejak 20 tahun lalu sehingga kini.

PTPTN adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh bekas perdana menteri ketika itu, Najib Razak melalui dasar pendemokrasian proses pendidikan negara.

Pinjaman pendidikan PTPTN membuka seluas-luasnya peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sama ada ke universiti awam, politeknik dan institusi pendidikan swasta (IPTS).

Walau apa pun jenis pendidikan yang ditawarkan, isu yang membabitkan pinjaman pendidikan tidak seharusnya dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak kerana pihak yang terlibat dengan pemberian pinjaman berkenaan telah bertungkus lumus memastikan para peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman yang mereka buat dengan cara yang penuh tertib, hikmah serta mengikut budi bicara semua pihak yang terlibat.

Sudah terdapat pelbagai konsesi serta proses pemudah cara bagi proses melunaskan kembali segala bentuk pinjaman pendidikan yang dibuat yang dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada para peminjam untuk melunaskan kembali pinjaman pendidikan mereka.

Adalah amat menyedihkan isu pinjaman pendidikan sentiasa muncul tiap kali tibanya musim pilihan raya dalam negara kita. Sudah pasti para peminjam akan mengambil jalan mudah untuk mencari mana-mana pihak yang sudi menabur pelbagai jenis janji manis bagi meringankan beban hutang mereka.

Akibatnya peminjam akan terus berlengah untuk membayar kembali pinjaman mereka sendiri kerana mengharapkan segala janji manis yang diberikan kepada mereka ditunaikan oleh pihak yang terlibat.

Seperti yang dinyatakan, kebanyakan mereka yang meminjam untuk pinjaman pendidikan adalah terdiri daripada generasi muda dan belia yang bakal menempuhi alam pekerjaan dan rumah tangga.

Sekiranya terlalu banyak janji manis politik yang diberikan khusus mengenai perkara ini seolah-olah ia memberi satu isyarat yang salah kepada para peminjam bahawasanya tidak salah bagi mereka untuk terus berlengah-lengah, menangguhkan serta tidak terus membayar balik segala pinjaman pendidikan yang mereka buat.

Akhirnya ia akan mengakibatkan mereka menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa, terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan pada masa hadapan kelak.

Tidak salah sekiranya kita lantang bersuara untuk membantu para peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman.

Namun satu perkara pokok yang paling penting dalam perkara ini ialah setiap daripada diri peminjam perlu diberitahu dengan tegas bahawa setiap hutang perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang dibuat tanpa berlengah.

Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Orang muda khususnya harus dididik dari awal supaya lebih berdisiplin untuk melunaskan segala tanggungjawab mereka.

Sekiranya mereka berjaya dilatih dari peringkat awal untuk lebih berdisiplin dan bertanggungjawab khusus dalam aspek pengurusan kewangan terutamanya dalam aspek pembayaran hutang, sudah pasti mereka dapat menjadi individu yang lebih berintegriti dan berjaya pada masa depan.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah & Undang -undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.