Tiada Orang Asli Gerik ditahan ketika roboh sekatan

Operasi perobohan sekatan laluan pembalakan menuju Hutan Simpan Air Cepam dijalankan secara aman semalam. (Gambar Facebook)

IPOH: Tiada tangkapan ke atas penduduk Kampung Tasik Asal Cunex di Gerik yang bertindak membina sekatan menuju Hutan Simpan Air Cepam bagi menyekat kegiatan pembalakan di kawasan itu.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata 2 laporan polis yang dibuat wakil penduduk dan syarikat pembalakan berhubung sekatan laluan pembalakan itu sudah selesai apabila sekatan itu dirobohkan selepas mendapat kebenaran kerajaan negeri.

“Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku semasa kerja perobohan laluan itu dijalankan kerana penduduk di situ tidak melakukan apa-apa kekecohan atau rusuhan, jadi tidak ada apa-apa tangkapan atau tindakan ke atas penduduk.

“Bagaimanapun, kita masih memantau di sekitar kawasan berkenaan kerana kita takut sekiranya ada apa-apa kejadian yang lain berlaku. Kita menempatkan 50 anggota dari ibu pejabat polis daerah dan Pasukan Gerakan Am dari Gerik bagi memastikan keselamatan di situ terjamin,” katanya selepas Program Kepolisan Berprofil Tinggi di bazar Ramadan Medan Gopeng di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri membenarkan perobohan sekatan laluan pembalakan menuju hutan simpan itu yang dibina penduduk kampung di tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran.

Faizal berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibenarkan selepas meneliti semua aduan dan sudut perundangan. Operasi perobohan sekatan itu dijalankan secara aman.

Katanya, penduduk mendakwa pembinaan sekatan itu kerana tiada perbincangan dengan mereka untuk mengeluarkan kayu balak yang ditebang dari hutan yang merupakan tanah adat mereka, tetapi hasil semakan mendapati kerajaan belum mengiktiraf kawasan itu sebagai tanah adat Orang Asli.

Sementara itu, Razarudin berkata, 135 pegawai dan 543 anggota polis terbabit dalam program kepolisan di 78 bazar Ramadan di seluruh Perak sejak 6 Mei lalu.

“Tujuan kita mengadakan program ini untuk mendekatkan polis dengan anggota masyarakat, selain mendapatkan maklumat daripada peniaga mengenai keadaan di bazar Ramadan.

“Kita mendapati sehingga kini tidak ada kejadian jenayah seperti ragut berlaku di bazar Ramadan, selain tidak wujud kadar ketakutan jenayah dalam kalangan peniaga dan pengunjung.”