Umno: Apa kayu ukur Kemakmuran Bersama, perincikan agenda Bumiputeranya

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno hari ini mempertikaikan kebolehcapaian Kemakmuran Bersama 2030 yang digariskan perdana menteri baru-baru ini, menyifatkan ia cita-cita yang lunak tanpa kayu ukur yang jelas.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata Pakatan Harapan akhirnya mengumumkan suatu visi nasional selepas setahun mentadbir negara, namun selepas meneliti rancangan tersebut, timbul beberapa persoalan yang mesti dijelaskan kerajaan.

“Apakah kayu ukur kemakmuran bersama ini?” kata Khaled dalam kenyataan malam tadi.

“Perdana menteri menyebut berkenaan ‘pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan’ dan ‘penyertaan dalam rangkaian bekalan’. Jadi, apakah sasarannya dan bagaimanakah kemakmuran bersama akan dinilai dalam konteks ini?”

Bekas menteri besar Johor itu berkata indikator yang akan digunakan untuk menilai “aspek-aspek yang abstrak” itu sangat penting, kerana ia mestilah bukan sekadar konsep semata-mata.

“Ia mesti mempunyai sasaran yang boleh diukur. Indikator dan parameter penilaian yang jelas akan menentukan bukan sahaja pencapaian matlamat, tetapi juga keberkesanan visi tersebut.”

Perdana menteri pada 9 Mei lepas mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan hala tuju baharu ekonomi negara, yang mengambil pendekatan Kemakmuran Bersama dengan “meningkatkan kuasa beli rakyat, dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah serta jurang rantaian bekalan yang melampau”.

Dr Mahathir Mohamad berkata Kemakmuran Bersama usaha menjadikan Malaysia terus menerus membangun secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif “di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan” dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Khaled menggesa PH perincikan apakah yang akan dilakukan dengan agenda pemberdayaan Bumiputera dalam konteks kemakmuran bersama itu.

“Ini semua perlu diperincikan,” kata bekas menteri besar Johor itu.

“Ikhtiar pemberdayaan Bumiputera selama ini memang tujuannya untuk memastikan kesejahteraan negara ini dikongsi secara bertanggungjawab antara semua kaum,” tambahnya.

Golongan terpilih

Khaled menyorot perhatian PH kepada strategi Dr Mahathir sebelum ini, iaitu ekonomi “laissez-faire”, dasar “trickle-down economics” dan dasar penswastaan besar-besaran, yang melahirkan golongan elit kecil yang terlampau kaya dalam kalangan orang Melayu dan bukan Melayu yang terpilih.

Beliau mengingatkan penghalang utama kemakmuran bersama adalah pendapatan terlampau tinggi dan tumpuan kekayaan dalam kalangan orang kaya.

“Kerajaan sehingga kini belum menjelaskan bagaimana strateginya untuk mengagihkan kekayaan negara secara lebih saksama dan berkeadilan,” katanya.

Khaled seterusnya tertanya adakah projek kereta nasional ke-3, kereta terbang, mengembalikan semula perlumbaan Formula 1 dan menjual aset-aset strategik kerajaan sebahagian daripada strategi Kemakmuran Bersama itu.

“Rakyat mengharapkan sesuatu yang transformatif dan bersifat ‘game changing’,” katanya.

Menteri tidak serius

Beliau berkata rakyat gusar tentang kebolehcapaian cita-cita besar PH itu, memandangkan jemaah menteri semasa sangat tidak berpengalaman, tidak profesional dan “underperforming”.

“Seperti yang diakui sendiri oleh perdana menteri. Ramai menteri lebih sibuk dan berbangga dengan kunjung hormat ke pejabat mereka sesama sendiri,” katanya.

“Lebih merisaukan apabila menteri hal ehwal ekonomi tidak serius bercakap berkaitan dengan hal ehwal ekonomi dan strateginya untuk menjadikan ekonomi Malaysia ini ‘future proof’,” katanya.

“Kesejahteraan bersama bagaimana yang akan terhasil bila menteri kewangan hanya fokus dengan pengurusan hutang dan dalam waktu yang sama menambah pelbagai hutang baru?” tambahnya.

“Lihat sahaja menteri belia dan sukan, yang KPI dan pencapaian setahun yang dibanggakan adalah latihan debat kepada beberapa orang anak Muar dan bukannya masa depan anak muda luar bandar secara menyeluruh.”