3 kadar baru zakat fitrah diperkenal ikut jenis beras dimakan

Kadar Zakat Fitrah ditetapkan mengikut negeri berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.6kg.

Kebiasaannya kadar zakat fitrah di Malaysia sekitar RM6.50 dan RM7 seorang.

Namun begitu bagi golongan yang berkemampuan, kini anda boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri dan tanggungan, seperti yang diumumkan di negeri Selangor, Kedah, Perak dan beberapa negeri lagi pada tahun ini iaitu 1440H / 2019.

Berikut beberapa perkara yang mungkin anda nak tahu tentang kadar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan.

1. Apakah maksud “bayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan”?

Bermaksud bayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan oleh individu dan keluarga.

Ini bermaksud, kalau kita biasa makan beras yang lebih bermutu selain beras biasa (seperti beras wangi, beras basmati, beras perang dan sebagainya), kita digalakkan untuk membayar kadar zakat yang lebih tinggi sedikit nilainya.

Boleh rujuk kadar zakat di setiap negeri seperti dalam infografik di bawah.

2. Apakah hukum dan dalil galakan individu yang ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan?

Hukumnya sunat dan dalil galakan individu yang ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW.

“Dari Abi Sa’id Al-Khudri ra : Sesungguhnya kami di zaman Rasulullah SAW memberinya (membayar zakat fitrah) satu sha’ dari makanan yang dimakan, satu sha’ dari kurma.” (Sahih Bukhari )

3. Kenapa kita digalakan membayar zakat fitrah mengikut harga beras dimakan?

Kita digalakan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan kerana ianya merupakan kebajikan bagi golongan yang berkemampuan dan lebihan daripada zakat fitrah tersebut akan disalurkan kepada golongan fakir dan miskin.

Firman Allah

“Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya”. (Al Baqarah 184)

4. Bolehkah saya membayar zakat fitrah mengikut kadar umum RM7 walaupun saya berkemampuan untuk membayar lebih mengikut harga beras dimakan?

Kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7.00 sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat.

Maka dibolehkan membayar mengikut kadar minimum yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri masing-masing.

5. Bagaimanakah kaedah kiraan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan?

Ada negeri yang menetapkan 2 kadar zakat fitrah (seperti Johor) iaitu sebanyak RM7 dan RM10.

Manakala beberapa negeri lain meletakkan 3 kadar zakat fitrah sebanyak RM14 dan RM21 seorang, bergantung pada harga beras tersebut di pasaran.

Berikut contoh maklumat zakat fitrah mengikut harga beras yang telah disediakan oleh pihak Lembaga Zakat negeri Selangor, Melaka dan Johor.

6. Berapakah bayaran zakat fitrah sekiranya terdapat ahli keluarga makan beras melebihi kadar RM7 atas sebab kesihatan?

Kadar bayaran zakat fitrah bagi ahli keluarga tersebut mengikut kadar umum iaitu RM7.

MAKLUMAT LANJUT

Bagi penjelasan lebih lanjut, anda boleh menanyakan sebarang kemusykilan terus kepada pejabat zakat atau amil yang dilantik oleh lembaga zakat negeri masing-masing.

Zakat Selangor akan membuka 27 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan.

Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.

Jadi, kalau ada kemampuan, bolehlah zakatkan ikut kadar baru yang diumumkan ini.

Semoga zakat yang ditunaikan dapat memberi keberkatan dalam rezeki kita kelak.

Jom tunaikan zakat!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]