Ambiga gesa projek Taman Rimba Kiara ditangguh

Aktivis sosial Ambiga Sreenevasan.

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan meminta cadangan projek pembangunan Taman Rimba Kiara ditangguhkan sementara.

Aktivis sosial itu menyebut tentang “isu ketelusan” yang mewajarkan satu penyiasatan menyeluruh dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek berkenaan.

“Saya berharap Kabinet akan membuat keputusan itu. Kita semua berminat dengan ketelusan.

“Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) perlu dilihat semula dan hakikat bahawa menteri merupakan pengerusinya, ” kata Ambiga merujuk kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

“Kita tidak perlu pergi terlalu jauh untuk menyedari bahawa ia adalah satu konflik kepentingan,” katanya dalam sesi bertemu rakyat dengan kira-kira 450 penduduk Taman Tun Dr Ismail dan kejiranan berdekatan.

Ambiga juga mempersoalkan keesahan langkah menganugerahkan projek masa depan kepada YWP selepas melihat bukti yang dikemukakan oleh Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) bahawa wujudnya konflik kepentingan dalam eksesais itu.

Sebahagian penduduk yang hadir dalam sesi bertemu rakyat berkaitan cadangan projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

Dalam dokumen kontrak projek pembangunan yang dicadangkan itu yang dikemukakan kepada sesi pertemuan tersebut, ada disebutkan, antara lain:

“Bantuan daripada YWP:

“Jika dan apabila diminta oleh pemaju, YWP hendaklah memberikan semua bantuan yang diperlukan oleh pemaju dalam semua permohonan dengan tujuan mempermudahkan semua kelulusan bagi pembangunan itu, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

a. berhubung dengan semua pihak berkuasa berkaitan, atas dasar usaha terbaik, bagi mendapatkan Kelulusan Perancangan dan Nisbah Plot;

b. berhubung dengan semua pihak berkuasa berkaitan, atas dasar usaha terbaik, bagi mendapatkan semua kelulusan bagi menjalankan (kegiatan) pembangunan tanah itu.”

Ambiga berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu apabila bertemu dengan Khalid Isnin depan.

Beliau berkata, Khalid meminta untuk bertemu beliau dan pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel.

Pada Khamis, Khalid menyuarakan kekecewaannya berhubung “kawan-kawan” yang memilih untuk membuat kritikan terhadap projek pembangunan Taman Rimba Kiara itu melalui media, bukannya berjumpa beliau.

Ambiga berkata, isu itu bukan berkenaan persahabatan dan tidak bersifat peribadi.

“Tetapi saya percaya kawan-kawan akan melihat anda dengan pandangan lebih baik berbanding orang lain.

“Jadi Khalid, kita melihat anda dengan pandangan lebih baik,” kata Ambiga.

Dilaporkan bahawa Khalid mencadangkan satu rancangan projek yang dikaji semula terdiri daripada 4 blok apartmen mewah setinggi 41-45 tingkat (878 unit) dan 1 blok 17 tingkat unit rumah mampu milik untuk penghuni rumah panjang Bukit Kiara.

Ini berbanding rancangan asal untuk membina 8 blok kondominimum mewah setinggi 42 ke 54 tingkat (2,277 unit) dan 1 blok 29 tingkat unit mampu milik (350 unit), berjumlah kesemuanya 2,627 unit.

Menurut Khalid, saiz cadangan pembangunan itu telah dikurangkan kepada 3.2 hektar daripada 4.85 hektar.