Jual aset kini dipuji sebagai FDI, Najib sindir Guan Eng

Najib Razak berkata, FDI yang dimaksudkan Lim Guan Eng sebenarnya adalah jualan aset Malaysia kepada syarikat Mitsui dari Jepun dan OMV dari Austria.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak hari ini menyindir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung kenyataannya mengenai kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) tertinggi dalam sejarah negara pada suku pertama tahun ini.

Najib berkata, sebenarnya “pelaburan” dari Jepun dan Austria yang didakwa oleh Lim itu adalah penjualan aset yang diumumkan pada suku ke-4 tahun lepas, tetapi wang hasil penjualan itu baru diperolehi tahun ini.

“Oleh itu ia dikira sebagai pelaburan direalisasikan untuk suku pertama 2019 ini.

“Bolehlah jual lagi banyak aset negara dan dipanggil sebagai pelaburan asing. Baru ada peluang untuk memuji diri lagi ” katanya di laman Facebooknya.

Media hari ini melaporkan kenyataan Lim bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5% bagi suku pertama tahun ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi, semasa negara berhadapan dengan ketidaktentuan yang timbul akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Lim berkata, ia merupakan satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini.

“Ia seiring dengan kenaikan pelaburan langsung asing, iaitu ke tahap tertinggi di dalam sejarah negara, iaitu RM21.7 bilion, peningkatan sebanyak 94.8% berbanding RM11.2 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun lepas.

“Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas kerajaan dan negara Malaysia,” kata beliau dalam perutusan Hari Wesak yang disambut esok.

Lim juga berkata, lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion dari Jepun, RM3.7 bilion dari Austria dan RM2.8 bilion dari Hong Kong.

Najib berkata, beliau hairan jika ada pelaburan asing sebesar itu dalam projek baru mestilah ia akan menjana peluang pekerjaan baru dan rakyat tentunya mengetahuinya.

Justeru katanya, setelah memeriksa laporan suku pertama Bank Negara Malaysia (BNM), maka barulah beliau faham bahawa dakwaan yang dibuat oleh Lim itu bukannya pelaburan, tetapi penjualan aset negara.

“Rupanya, ‘pelaburan’ asing RM8.4 bilion dari Jepun ini adalah penjualan IHH Berhad yang dibina masa saya jadi perdana menteri oleh Khazanah Nasional kepada syarikat Mitsui dari Jepun.

“Manakala ‘pelaburan’ asing RM3.7 bilion dari Austria ini merupakan penjualan 50% kepentingan dalam syarikat Sapura Upstream Sdn Bhd yang dimilik 40% oleh PNB kepada syarikat OMV dari Austria,” katanya.