KDNK naik 4.5% bukti daya tahan ekonomi, FDI tertinggi dalam sejarah, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pada suku pertama 2019 Malaysia juga menerima kemasukan 6.69 juta pelancong asing, jumlah terbesar sejak suku ke-4 2018.

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5% bagi suku pertama tahun ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi, semasa negara berhadapan dengan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ini merupakan satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini.

“Ia seiring dengan kenaikan pelaburan langsung asing, iaitu ke tahap tertinggi di dalam sejarah negara, iaitu RM21.7 bilion, peningkatan sebanyak 94.8% berbanding RM11.2 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun lepas.

“Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas kerajaan dan negara Malaysia,” kata beliau dalam perutusan Hari Wesak yang disambut esok.

Lim berkata, lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion daripada Jepun, RM3.7 bilion daripada Austria dan RM2.8 bilion daripada Hong Kong.

Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara, katanya.

Pada masa sama, Lim berkata, lebihan akaun semasa naik kepada RM16.4 Bilion, atau 4.7% daripada pendapatan kasar negara berbanding 3.0% daripada suku keempat 2018.

“Ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan dalam suku-suku yang akan datang”.

Beliau turut berkata bahawa suku pertama 2019 memperlihatkan Malaysia menerima 6.696 juta pelancong asing, iaitu jumlah yang terbesar sejak suku ke-4 2016.

Ini merupakan peningkatan 2.7% berbanding tahun lepas apabila 6.520 juta pelancong asing melawat Malaysia, dan 3.9% berbanding suku ke-4 2018 apabila 6.446 juta pelancong asing masuk melawat Malaysia.

“Sambil semua penganut agama Buddha merayakan Hari Wesak dengan aman, marilah kita memperingati ajaran yang mengajak manusia untuk sentiasa berbuat baik dengan saling bantu-membantu tanpa melupakan sesiapa.

“Perkara yang sama akan dilaksanakan oleh kerajaan melalui pertumbuhan inklusif bagi memastikan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini sejajar dengan konsep “Kemakmuran Bersama” seperti yang diterangkan perdana menteri pada 9 Mei 2019 sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.