Kerajaan tak beku pengambilan pekerja asing

Sepanjang 2 tahun lepas, sebanyak 4,434 majikan dari sub-sektor restoran membuat permohonan untuk menggaji pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menafikan berlakunya pembekuan pengambilan pekerja asing ke Malaysia sebaliknya ia penolakan permohonan disebabkan ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan yang ditetapkan kerajaan.

Kementerian dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya memandang serius dan komited untuk memastikan pematuhan berterusan oleh pihak majikan ke atas setiap garis panduan dan undang-undang perburuhan yang dikuatkuasakan dalam usaha mengurangkan amalan buruh paksa di negara ini.

Sepanjang 2 tahun lepas, sebanyak 4,434 majikan dari sub-sektor restoran membuat permohonan untuk menggaji pekerja asing melalui Sistem ePPAx di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), dan daripada jumlah itu hanya 1,407 permohonan melibatkan 8,552 pekerja asing disokong, kata kenyataan itu.

“Sehingga April 2019 pula, sebanyak 796 permohonan menggajikan pekerja asing diterima. Daripada jumlah tersebut sebanyak 216 permohonan yang melibatkan 1,840 pekerja asing disokong dan 580 permohonan ditolak.

“Daripada jumlah (yang ditolak) itu, 517 permohonan disebabkan majikan gagal mematuhi undang-undang perburuhan dan baki 63 disebabkan majikan tidak mempunyai kelayakan untuk menggajikan pekerja asing,” menurut kenyataan itu.

Katanya, rata-rata penolakan permohonan disebabkan pelanggaran undang-undang perburuhan seperti Akta Kerja 1955, Akta Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966.

“Selain aspek perundangan pihak JTKSM juga melihat kepada kemudahan perumahan yang disediakan dan sekiranya gagal menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai kepada pekerja sedia ada, permohonan mereka tidak akan disokong sehingga majikan membuat penambahbaikan,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, dari 2017 hingga 2018, sebanyak 95 kertas siasatan dibuka ke atas syarikat sub-sektor restoran kerana melakukan pelanggaran undang-undang perburuhan negara.

“Sebanyak 32 syarikat didakwa di mahkamah manakala selebihnya dikompaun. Untuk 2019 sahaja, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka dengan 3 didakwa dan 13 lagi dikompaun,” kata kenyataan itu.