Orang Asli tak perlu kebenaran Perak lindungi tanah mereka, kata NGO
Peka berkata Orang Asli mempunyai hak membina sekatan bagi melindungi tanah mereka dan dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.
PETALING JAYA: Sebuah NGO alam sekitar menyelar tindakan Perak merobohkan sekatan Orang Asli di atas tanah negeri di perkampungan Orang Asli Kampung Tasik Cunex.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata Orang Asli mempunyai hak untuk membina sekatan bagi melindungi tanah mereka dan dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapat kebenaran kerajaan negeri.
“Kami tahu hutan dan kampung itu milik mereka secara tradisi; ia adalah kehidupan mereka. Pada awalnya, kita bercakap mengenai pembalakan besar-besaran yang akan membawa kepada bencana alam jika kita membiarkannya berterusan.”
Mengatakan Orang Asli membuat sekatan itu untuk mengelak bahaya seperti itu dan untuk melindungi mata pencarian mereka, dia bertanya: “Adakah ia salah?”
Beliau mengulas keputusan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang membenarkan pegawai penguatkuasa merobohkan sekatan yang dikatakannya dibina tanpa kebenaran.
Sekatan Orang Asli di Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak, dirobohkan Khamis lalu oleh kerajaan negeri.
Faizal berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibenarkan selepas meneliti semua aduan dan sudut perundangan. Operasi perobohan sekatan itu dijalankan secara aman.
Sabrina mendesak Faizal tidak melihat membangunkan negeri semata-mata tanpa mempertimbangkan faktor persekitaran.
“Kami juga mahu pembangunan tetapi ada cara, bukan melalui ‘jalan pintas’ ini untuk mendapatkan wang.”
Beliau berkata Faizal tidak sepatutnya menggunakan kuasanya sebagai menteri besar untuk membenarkan pembalakan hanya kerana ia menguntungkan, tetapi harus mempertimbangkan kehidupan Orang Asli yang tinggal di sana selama beberapa generasi.
Beliau menasihatkan Faizal melihat ke depan, berbanding menjadi “orang yang berpandangan singkat”, sambil menambah beliau harus memikirkan cara lain untuk meningkatkan ekonomi negara.
“Terdapat banyak cara, bukan hanya melalui pembalakan tetapi mereka boleh cuba ekopelancongan atau pelancongan alam semula jadi.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Orang Asli mempunyai hak dan walaupun Faizal berkata dia ikut undang-undang, adakah ia ‘win-win situation’ untuk kedua-dua pihak?”