Pengerusi baru Umno Selangor diumum selepas Raya, kata Ismail

Naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Pengerusi perhubungan Umno Selangor yang baru dijangka diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden Umno itu, yang kini menjalankan tugas timbalan presiden berkata, sementara mendapatkan pengantinya, timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan akan memangku tugas pengerusi.

“Saya juga telah mengadakan perjumpaan dengan ketua bahagian dan ketua sayap parti untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Sehingga kini beberapa ketua bahagian telah menyatakan minat untuk mengisi jawatan tersebut. Mereka adalah pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa untuk menerajui Umno Selangor,” katanya.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, jawatan berkenaan disandang ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar. Beliau melepaskan jawatan itu selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya 9 Mei tahun lepas.

Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau juga akan berbincang dengan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, untuk memutuskan nama pengerusi perhubungan Umno negeri itu.

Ismail menjelaskan bahawa beliau dilantik sebagai pengerusi perhubungan Umno Selangor sebelum ini untuk tempoh sementara dalam usaha meningkatkan prestasi Umno negeri berkenaan.

Katanya, setelah hampir setahun mengemudi Umno Selangor, prestasi Umno negeri telah dapat dipertingkatkan.

“Kejayaan terbesarnya adalah kemenangan BN merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihanraya raya kecil (PRK) DUN itu pada 2 Mac lalu.

“Sehubungan itu, saya merasakan Umno Selangor sudah boleh dipimpin oleh pemimpin dari negeri itu sendiri yang mempunyai kemampuan untuk meneruskan kebangkitan di Selangor,” katanya.

Ismail berkata, beliau telah memanggil mesyuarat khas Badan Perhubungan Umno Selangor pada 5 April yang melibatkan ketua bahagian serta ketua sayap dan telah mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi perhubungan Umno negeri itu berkuat kuasa 1 Mei.