Polis siasat dakwaan ahli Parlimen buat gangguan seksual terhadap wanita
Wanita berusia 47 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mei menyatakan dia dicabul dan diaibkan oleh ahli Parlimen PKR.
SHAH ALAM: Beberapa saksi dipanggil untuk siasatan sebelum sebarang tindakan diambil berhubung kes bekas pembantu seorang ahli parlimen di Perak yang mendakwa diganggu secara seksual oleh ahli parlimen itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata menerusi laporan polis yang dibuat oleh wanita berusia 47 tahun itu pada Khamis lepas (16 Mei) beliau menyatakan dicabul dan diaibkan oleh seorang lelaki yang merupakan seorang ahli Parlimen.
“Wanita itu yang merupakan bekas pegawai penyelidik mendakwa kejadian itu berlaku beberapa kali sejak Disember 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Fadzil kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 509 Kanun Keseksaan.
Media tempatan terdahulu melaporkan yang bekas pembantu ahli Parlimen itu membuat laporan polis yang beliau diganggu secara seksual.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Laporan itu turut menyebut wanita itu mendakwa ahli Parlimen berkenaan menunjukkan buku Kamasutra dan gambar lucah kepadanya.