Remaja bunuh diri: NGO beri amaran khidmat kesihatan mental tak cukup

Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib.

PETALING JAYA: Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menolak gesaan bagi mengetatkan undang-undang atas talian dan pemantauan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak sebagai tindak balas berhubung kes remaja membunuh diri di Sarawak.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib, Azrul Mohd Khalib memberitahu FMT, masyarakat yang membuat gesaan sedemikian mungkin tidak menghiraukan isu yang lebih besar sama ada perkhidmatan kesihatan mental di negara ini mencukupi.

“Kita perlu mengambil pandangan yang jujur dan realistik mengenai apa yang perkhidmatan kesihatan mental kita sediakan, sama ada mereka memenuhi keperluan dan jika orang ramai tahu cara mengaksesnya.

“Ini bukan mengenai platform media sosial yang digunakan untuk menimbang untuk bunuh diri, atau pemantauan penggunaan internet atau memperkenalkan undang-undang baru yang mengekang,” katanya.

Beliau mengulas respon masyarakat berhubung laporan mengenai gadis 16 tahun yang membunuh diri dengan terjun dari tingkat 3 sebuah bangunan di Kuching selepas majoriti responden di Instagram menyokong keputusannya untuk membunuh diri.

Azrul berkata tragedi itu adalah amaran mengenai perkhidmatan kesihatan mental yang tidak mencukupi.

Beliau berkata kajian menunjukkan 1/3 rakyat Malaysia dewasa mungkin hidup dengan mengalami penyakit mental dan berkata bilangan pakar kesihatan mental “sangat sedikit”, terutamanya dalam sektor awam.

Beberapa perkhidmatan rawatan yang ada hanya tertumpu di kawasan bandar, katanya.

Beliau berkata Putrajaya perlu melihat perkara itu dengan segera dan menyediakan dana yang mencukupi untuk menyokong perkhidmatan tersebut.

“Mungkin kita tidak tahu berapa banyak yang perlu diperuntukkan dan sejauh mana jurang pembiayaan itu,” katanya.

Beliau menggesa semua pelan insurans menyediakan penjagaan kesihatan mental.

Beliau juga mencadangkan organisasi awam dan swasta menjalankan kempen untuk memerangi diskriminasi terhadap mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan menyingkir stigma berkaitan penyakit mental.

Pakar psikologi klinikal, Chua Sook Ning bersetuju dengan gesaan Azrul bagi peruntukan yang mencukupi untuk kesihatan mental.

Beliau berkata negara berpendapatan tinggi biasanya membelanjakan lebih 5% belanjawan kesihatan tahunan mereka untuk kesihatan mental.

Beliau berkata salah satu bidang keutamaan di Malaysia adalah latihan pakar kesihatan mental.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencadangkan pelaburan dalam program pencegahan dan intervensi bagi kemurungan, psikosis dan penyalahgunaan bahan berbahaya.

Dalam kempen pilihan raya, Pakatan Harapan berjanji lebih banyak sumber kerajaan akan disalurkan kepada penjagaan kesihatan mental melalui hospital kerajaan. Buku Harapan menyebutkan sumber manusia dan liputan insurans.

Chua juga menggesa kewujudan rancangan program kesedaran bagi menangani masalah kesihatan mental dan kemudahan intervensi awal.

Mengulas mengenai gadis yang membunuh diri itu, beliau berkata “ada sebab yang mendasari” dan “kita perlu belajar untuk menjadi masyarakat yang ada belas kasihan. Keluarga juga perlu disokong secara psikologi.”

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo juga mengulas mengenai kes bunuh diri itu. Beliau berkata kemungkinan akan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap buli siber dan cubaan bunuh diri.