Selepas 10 tahun, SPAN janji selesai masalah limpahan kumbahan di Klang

Pengerusi SPAN, Charles Santiago (tengah) dan Ahli Suruhanjaya SPAN, Hanul Mohamad Salleh dalam sidang media mengenai tindakan SPAN mengatasi kegagalan sistem kumbahan di Bandar Botanik dan Ambang Botanik, hari ini.

KLANG: Selepas 10 tahun menderita, kira-kira 15,000 penduduk Bandar Botanik dan Ambang Botanik kini boleh menarik nafas lega apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berjanji akan menyelesaikan masalah limpahan air dan sisa kumbahan di dalam serta luar rumah mereka.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago hari ini berkata satu persefahaman dicapai antara pemaju, operator pembentungan serta persatuan penduduk Bandar Botanik dan mensasarkan penyelesaian masalah itu dalam masa 7 bulan.

“Berdasarkan perbincangan dengan Gamuda Land Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn Bhd dan persatuan penduduk membuat keputusan bersama untuk melaksanakan kerja pemulihan dan penambahbaikan ke atas sistem kumbahan jenis vakum di Bandar Botanik dan Ambang Botanik.

“Kegagalan sistem kumbahan jenis vakum itu akhirnya mencapai jalan penyelesaian,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, penduduk di Bandar Botanik dan Ambang Botanik beberapa kali menyuarakan masalah berhubung kegagalan sistem kumbahan di kawasan perumahan mereka yang dialami sejak 2008.

Seorang penduduk, Ko Chung Beng, 30, berkata sisa kumbahan itu juga melimpah daripada lubang tandas rumahnya sehingga membanjiri lantai bilik air.

Katanya, keadaan bertambah buruk ketika hujan lebat kerana beliau sekeluarga tidak boleh tidur lena kerana terpaksa menghidu bau busuk, selain khuatir air limpahan dan najis memasuki ruang tamu dan dapur.

Charles berkata SPAN mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah itu berikutan tiada kata sepakat antara pemaju, operator pembentungan dan persatuan penduduk.

“Kita akui ada jalan penyelesaian tetapi tiada kata sepakat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Suruhanjaya SPAN, Hasnul Mohamad Salleh berkata kerja pemulihan dan penambahbaikan akan bermula pada Jun 2019 dan menjangkakan ia mengambil masa selama 12 bulan.

“Untuk sasaran 7 bulan ini, kita sasar selesai masalah utama dalam 70%. Kita akan dapat lihat masalah utama itu akan diselesaikan.

“Masa yang lama diambil berikutan tidak mahu masalah itu akan berulang dan mengelak daripada melakukan kesilapan dalam pemulihan ini,” katanya.

Beliau juga berkata kos yang akan diambil dalam pemulihan ini dianggarkan sebanyak RM60 juta.

“RM30 juta ditanggung oleh pihak Gamuda (pemaju) dan RM30 juta pihak SPAN.

“Pemulihan dan penambahbaikan melibatkan penjajaran sepanjang 16km, menaik taraf ‘chamber’ (gebuk vakum) dan pemasangan sistem paip baru,” katanya.