Tanah adat: MB Perak mengaku tidak tertekan dengan desakan Orang Asli

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, ‘tanah adat’ yang tuntut oleh Orang Asli di negeri itu merangkumi Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak, Hutan Simpan Piah (Kuala Kangsar) dan tanah kerajaan Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

TAPAH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata beliau tidak berasa tertekan dengan desakan masyarakat Orang Asli yang mahu kerajaan negeri meluluskan 12,456 hektar tanah adat.

Beliau berkata, tanah adat itu merangkumi Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak, Hutan Simpan Piah (Kuala Kangsar) dan tanah kerajaan Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

Katanya, walaupun kerajaan negeri amat bertimbang rasa dalam mengambil apa-apa tindakan ke atas segelintir penduduk Orang Asli yang meneroka tanah secara haram, namun pihaknya perlu bersifat tegas dalam melaksanakan undang-undang.

“Negara ini bukan negara koboi, kita ada undang-undang jadi kalau ada dalam kalangan rakyat yang bertindak (meneroka tanah secara haram) dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan peruntukan undang-undang, kita perlu mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Kerajaan mesti bersifat adil dengan semua rakyat tak kira siapa. Kita perlu ambil tindakan (jika meneroka tanah haram) tetapi kita tidak terus merobohkan rumah Orang Asli, kita cari jalan bagaimana hendak selesaikan satu-satu perkara itu dengan penuh ‘wisdom’,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wesak 2019 anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa kerajaan negeri bersedia menimbang desakan masyarakat Orang Asli untuk meluluskan 12,400 hektar tanah adat hutan simpan di Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Sungai Siput.

Baru-baru ini, seorang wakil Orang Asli, Apam Yik mendesak kerajaan mengiktiraf kawasan “tanah adat” lebih 12,000 hektar yang dituntut penduduk.

Apam berkata, tanah adat yang dituntut itu sememangnya hak milik nenek moyang mereka dan jumlah yang luas diperlukan berikutan keperluan Orang Asli untuk bercucuk tanam dan menyumpit.

“Tanah itu kita hendak simpan sebagai sumber kita saja, bukan kita hendak musnahkan atau hendak buat projek. Kita cuma tebang sedikit untuk berkebun (ladang getah) bagi hasil penduduk saja,” katanya.