Ahli Parlimen Labis mahu saman pentadbir FB selepas digelar anjing

Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong ketika membuat ucapan di dalam Masjid Jamek Tenang Stesen. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menyaman pentadbir laman Facebook “Ops Johor” kerana menggelarnya anjing sedangkan beliau hanya menjalankan tugas.

Kiriman Facebook itu menulis “Adun Tenang Bawak Masuk Anjing Dalam Masjid” selepas Pang memasuki Masjid Jamek Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Pang kemudian menjelaskan beliau dijemput ke masjid itu atas kapasiti beliau sebagai ahli Parlimen. Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1,000 untuk setiap masjid dan RM500 untuk setiap surau di kawasannya sempena dengan Ramadan.

Pang memberitahu FMT, beliau memberi kenyataan kepada pegawai penyiasat dan dimaklumkan beberapa laporan dibuat terhadap laman Facebook tersebut.

“Bagaimana pentadbir itu boleh panggil saya anjing ketika saya menunaikan tugas sebagai ahli Parlimen di kawasan saya?” soalnya.

Beliau berkata polis belum mengenal pasti pentadbir laman sosial itu.

“Saya harap mereka akan mengesan pentadbir itu tidak lama lagi dan menyiasat mereka kerana melakukan fitnah jenayah.

“Saya mungkin menyaman pentadbir itu,” katanya.

Pang juga berkata insiden itu menjadi isu perkauman yang menyebabkan kegelisahan dalam kalangan orang ramai.

Dalam satu kenyataan selepas peristiwa itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata “ucapan” Pang itu mencabul kesucian masjid dan menggugat kedudukan Islam di negeri itu.

“Ia merupakan pelanggaran sempadan saya sebagai ketua agama Islam Johor yang sudah gariskan sebelum ini, apatah lagi larangan ini baru sahaja saya tegaskan semula melalui Pekeliling Majlis Agama Islam Negeri Johor,” katanya, sambil menambah tindakan itu biadap dan tidak beretika.

Sebelum ini, gambar ahli Parlimen veteran di dalam masjid tersebar di media sosial.