Bekas Adun Penanti meninggal dunia

Bekas Adun Penanti, Ahmad Saad.

BUKIT MERTAJAM: Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti Ahmad Saad, 68, meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini awal pagi tadi.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said berkata allahyarham yang juga bekas ketua Pemuda Umno Pulau Pinang meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi.

“Jenazah dibawa ke rumahnya di Jalan Baru di sini, dan disolatkan di Masjid Jalan Baru sebelum di kebumikan kira-kira pukul 10 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang,” katanya di sini hari ini.

Ahmad menghidap angin ahmar sejak 8 tahun lalu dan kesan daripada penyakit itu menyebabkan beliau lumpuh sebelah badan serta terlantar di rumahnya di Jalan Baru, di sini.

Mohd Zaidi berkata selain menjadi Adun Penanti dari 1991 hingga 1995 Ahmad juga pernah menjadi Adun Permatang Pasir pada 1995 hingga 1999, bekas Ketua Umno Permatang Pauh dan pernah menjadi exco Pemuda Umno.

Ahmad berasal dari Kampung Bukit Indera Muda, Kubang Semang di Permatang Pauh dan pernah menjadi pegawai daerah Bukit Mertajam dari tahun 1976 hingga 1978.