Bukit Aman digesa ambil alih siasat aduan ‘seksaan’ terbaru

Suaram berkata, Bukit Aman hendaklah menyiasat dakwaan seorang peguam bahawa anak guamnya disiksa oleh polis ketika direman.

KUALA LUMPUR: Kumpulan hak asasi manusia mahu Bukit Aman menyiasat aduan terbaru berhubung perbuatan menyeksa oleh beberapa anggota polis, dan tidak membiarkan ia disiasat oleh balai polis di mana insiden itu didakwa berlaku.

Suaram berkata, ibu pejabat polis persekutuan hendaklah mengambil alih kes tersebut sementara menunggu penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Tingkah Laku Polis (IPCMC).

S Mahedran, yang dikehendaki berhubung kes rompakan bersenjata, mendakwa penderaan itu berlaku di ibu pejabat polis Sentul selepas beliau menyerah diri.

MalayMail Online memetik peguamnya M Visvanathan sebagai berkata bahawa Mahedran, 30, pergi ke balai polis itu pada 29 April selepas mengetahui namanya berada dalam senarai orang dikehendaki.

Visvanathan mendakwa, pada hari yang sama, polis menyerang kliennya dengan menggari tangan beliau ke belakang dan selepas itu memukul bahagian lehernya.

Katanya polis juga menyepak, menumbuk dan membogelkan klien beliau.

“Mereka menyapu lada tumbuk di seluruh badannya, terutama di bahagian sulit beliau,” katanya.

Visvanathan berkata, Mahedran juga dikenakan renjatan elektrik dan dibaringkan di atas kiub air batu dalam keadaan berbogel.

Katanya siksaan itu berjalan selama 13 jam sehari semasa Mahedran berada dalam reman polis.

Menurut MalayMail Online lagi, beliau juga mendakwa polis mengugut Mahedran bahawa mereka akan menyasarkan ibunya dan “tidak akan teragak-agak” merogol adiknya.

Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador perlu memindahkan kes itu ke Bukit Aman, bukan membenarkan ibu pejabat polis Sentul menyiasatnya.

“Balai polis yang sama tidak sepatutnya menyiasat aduan tersebut. Bukit Aman harus melakukannya sementara menunggu IPCMC diwujudkan,” katanya kepada FMT.

Sevan juga berkata, terdapat banyak aduan yang direkodkan terhadap polis dan sesetengahnya berakhir begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan diambil.

Bagimanapun ketua polis Sentul, S Shanmugamoorthy memberi jaminan penyiasatan akan dijalankan dengan adil.

“Saya memandang serius kes ini. Kami akan menyiasat secara telus dan melakukannya secara menyeluruh,” katanya kepada FMT.

Shanmugamoorthy tidak dapat menentukan tempoh penyiasatan itu akan disiapkan kerana terdapat beberapa perkara yang terlibat dalam proses tersebut, termasuk menunggu laporan perubatan.