Kaji punca murid lemah BI, jangan salahkan guru, kata NUTP

Presiden NUTP, Aminuddin Awang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkepentingan sektor pendidikan perlu membuat kajian komprehensif untuk mengetahui punca sebenar kelemahan penguasaan bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid berbanding menuding jari terhadap tahap penguasaan BI oleh guru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata, mereka harus mengenal pasti punca yang mempengaruhi tahap penguasaan murid yang lemah dalam subjek itu berbanding memberi arahan supaya guru opsyen BI menduduki Malaysian University English Test (MUET).

“Pada tanggapan kami, selain kekurangan guru opsyen BI mungkin ada faktor lain seperti persekitaran, motivasi murid seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mewajibkan untuk lulus subjek BI dan sebagainya. Maka kita kena duduk semeja untuk tahu apakah faktornya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pendidikan Bahasa Inggeris NUTP di sini, hari ini.

Pada 14 April lepas, ketua pengarah pelajaran, Amin Senin dalam satu pekeliling mengarahkan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan MUET bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).

Arahan pekeliling itu memaklumkan seramai 20,634 guru belum mengambil sebarang ujian profisiensi dan diminta untuk menjalani peperiksaan MUET.

Bagaimanapun Aminuddin berkata, berdasarkan Pelan Pembaharuan Pendidikan Bahasa Inggeris di Malaysia: The Roadmap 2015-2025 tidak menyatakan mengenai keperluan menduduki peperiksaan MUET, selain CEFR.

Aminuddin mengulangi pendirian pihaknya yang tidak bersetuju dengan arahan tersebut dan menyifatkan MUET hanya diambil oleh pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat universiti, manakala guru telah mengikuti pelbagai latihan intensif, termasuk ‘Cambridge Placement Test’ dan ‘APTIS-Assess English Skills’ yang dikelolakan British Council.

Beliau turut mahu KPM menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai keperluan guru yang perlu menduduki peperiksaan MUET.

“Kami ingin mendapatkan pengesahan siapakah yang wajib menduduki MUET? Adakah guru opsyen BI atau bukan opsyen BI kerana beberapa kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh KPM,” katanya.

Tambahnya, NUTP juga mahu tahu nasib guru yang bakal menduduki ujian MUET pada November ini sekiranya tidak mencapai tahap yang ditetapkan, selain akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik bagi membincangkan isu ini.