Kemakmuran bersama: Model ekonomi menerusi industri baru

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan perdana sempena sambutan ulangtahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan mengumumkan sebuah model ekonomi baru untuk Malaysia yang dinamakan “kemakmuran bersama”.

Model ekonomi ini mempunyai 3 objektif utama iaitu merapatkan jurang ekonomi antara kaum, kelas, wilayah dan rantaian bekalan; mewujudkan ekonomi yang terstruktur semula, progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat serta menjadikan Malaysia negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

Ketiga-tiga objektif ini secara ringkasnya merangkumi aspek pengagihan ekonomi yang adil (distributive justice), pertumbuhan (growth) dan perpaduan (unity) yang amat penting untuk menjamin kemakmuran Malaysia yang berkekalan.

Secara prinsipnya, ketiga-tiga matlamat kemakmuran bersama ini saling berhubung kait antara satu sama lain. Pengagihan ekonomi yang adil hanya akan berlaku dalam suasana pertumbuhan ekonomi yang rancak. Tiada pengagihan boleh dibuat sekiranya ekonomi menguncup. Dalam erti kata lain, kemakmuran bersama adalah model ekonomi yang berorientasikan pertumbuhan (growth oriented) dan mesra pasaran (market friendly).

Premis yang seterusnya adalah apabila ekonomi berkembang pesat dan kekayaan negara dapat diagih secara adil dan saksama merentasi batas kaum, kelas, wilayah dan rantaian bekalan, maka jurang ekonomi antara pelbagai kumpulan rakyat akan dapat diatasi. Maka dengan itu akan wujudlah perpaduan yang sebenar. Tiada mana-mana kumpulan rakyat yang tercicir dan tertinggal dalam mengecapi kemakmuran negara. Inilah matlamat utama kemakmuran bersama.

Mengapa Malaysia memerlukan model ekonomi baru yang bermatlamatkan kemakmuran bersama?

Data menunjukkan masih wujud jurang ekonomi yang besar di negara kita. Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif saban tahun, hasilnya tidak dikecapi secara melata oleh setiap lapisan masyarakat.

Misalnya, kadar gaji yang diterima pekerja adalah antara yang paling rendah di dunia iaitu hanya 35% daripada nilai KDNK. Walhal pekerja di negara lain terutamanya di negara maju menerima kadar upah yang lebih tinggi. Pekerja di Kesatuan Eropah menerima kadar gaji sebanyak 48.6% daripada KDNK, Australia (51.1%), Amerika Syarikat (53.5%) dan Jepun (53.6%).

Kadar gaji yang rendah ini merupakan antara penyebab utama rakyat sentiasa dihimpit oleh beban kos sara hidup yang tinggi. Harga barangan keperluan meningkat tetapi gaji tidak meningkat seiring dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Ini menyebabkan golongan berpendapatan rendah sentiasa bergantung kepada bantuan kerajaan sama ada dalam bentuk subsidi, bantuan sara hidup dan pelbagai program kebajikan untuk meneruskan kehidupan. Dalam keadaan sumber kerajaan yang terhad, kesukaran untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat akan meningkatkan keresahan mereka.

Lebih menyulitkan, masalah gaji yang rendah berhubung kait pula dengan isu kaum. Misalnya, 70% daripada kumpulan B40 iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah kurang RM4,360 sebulan adalah Bumiputera. Walaupun tidak dinafikan masalah pendapatan yang rendah dan bebanan kos sara hidup dirasai oleh semua kaum, tetapi masyarakat Bumiputera antara yang paling terkesan. Ini menyebabkan masyarakat Bumiputera sentiasa merasakan mereka selamanya terpinggir daripada arus kemajuan negara.

Dalam menghadapi trend politik identiti yang semakin tajam di seluruh dunia, masalah keterpinggiran ekonomi yang dialami sesuatu kaum jika dibiarkan berlarutan berpotensi membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan kestabilan politik, keharmonian rakyat dan kemakmuran negara. Malaysia Baru yang dijanjikan tidak akan memberikan apa-apa makna sekiranya rakyat berterusan bertelagah sesama sendiri merebut sumber ekonomi yang terhad.

Justeru, model kemakmuran bersama yang diumumkan perdana menteri adalah tepat pada masanya. Tumpuan mesti diberikan kepada usaha untuk menstruktur semula ekonomi negara dengan membangunkan bidang ekonomi baru yang boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan pengetahuan dan kemahiran tinggi dengan tawaran gaji yang lebih lumayan kepada rakyat.

Malaysia perlu segera berganjak daripada industri yang berintensif buruh berkemahiran rendah kepada bidang industri baru yang berasaskan teknologi tinggi. Dengan perkembangan bidang industri baru berasakan IR 4.0 dan ekonomi digital, pergantungan kepada buruh asing yang berkemahiran rendah juga akan dapat dikurangkan.

Untuk tujuan ini, pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi mestilah dijadikan keutamaan kerajaan. Ini penting supaya peluang pekerjaan dalam bidang industri baru yang berasaskan teknologi tinggi dapat diisi pekerja tempatan. Mereka akan menerima kadar upah yang lebih tinggi setimpal dengan tahap kemahiran dan produktiviti yang dihasilkan.

Selain itu, pemberdayaan keusahawanan rakyat juga perlu ditingkatkan. Lebih ramai usahawan tulen khususnya dalam kalangan masyarakat Bumiputera yang mampu bersaing secara sihat dalam persekitaran ekonomi yang lebih terbuka dan kompetitif perlu dilahirkan. Mereka sudah pasti memerlukan bantuan modal dan latihan di peringkat awal, tetapi akhirnya mestilah mampu berdikari dan bersaing.

Dalam tempoh jangka masa tertentu, usahawan ini perlu bergraduasi daripada menjadi penerima manfaat kekayaan kepada pencipta kekayaan. Perusahaan yang diusahakan oleh mereka mestilah mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjana kekayaan negara.

Secara ringkasnya, kemakmuran bersama adalah model ekonomi yang bertujuan untuk menjana kekayaan negara menerusi pertumbuhan yang pesat khususnya dalam bidang industri baru dan memastikan kekayaan yang dijana oleh negara diagih secara yang adil dan saksama kepada setiap lapisan masyarakat.

Berbeza dengan dasar ekonomi sebelum ini, kemakmuran bersama tidak hanya tertumpu kepada pengagihan ekonomi menerusi tindakan afirmatif berasaskan kaum semata-mata, tetapi juga merangkumi kelas, wilayah dan rantaian bekalan.

Bumiputera yang berpendapatan rendah sudah pasti akan menjadi penerima manfaat terbesar dasar ini. Pada masa yang sama, golongan yang memerlukan daripada kaum lain, termasuk penduduk Sabah dan Sarawak, akan turut menerima manfaat yang tidak kurang besarnya.

Selain itu, golongan pemodal dan majikan juga pastinya akan menerima manfaat yang berganda hasil daripada kekayaan yang dijana oleh mereka menerusi pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Kemakmuran bersama adalah sebuah gagasan yang besar. Cabaran yang paling utama ialah bagaimana untuk menterjemahkan gagasan ini dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan. Ia pastinya memerlukan kefahaman, sokongan dan dokongan pelbagai pihak.

Marzuki Mohamad ialah pegawai tugas-tugas khas Menteri Dalam Negeri dan pengerusi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.