Kemelut dengan AS paksa China dapatkan sokongan jiran lebih kecil, kata ahli akademik

Malaysia bertegas mahukan pertikaian mengenai Laut China Selatan dibincangkan di peringkat Asean. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Meningkatnya ketegangan dengan Amerika Syarikat memaksa China mendapatkan sokongan daripada negara berjirannya yang lebih kecil, tetapi inisiatif ini dijangka berdepan tentangan daripada Malaysia, kata seorang profesor China.

Zhang Mingliang, seorang profesor madya yang mengkhusus dalam pengajian Laut China Selatan di Universiti Jinan di Guangzhou memberitahu akhbar South China Morning Post (SCMP) bahawa tekanan hebat daripada perang perdagangan dengan AS, memaksa China menstabilkan kejiranannya dan menghalang mereka daripada mengkritik.

“Bagaimanapun di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, Malaysia amat memahami keadaan itu dan tahu ia kini mempunyai kelebihan ke atas China.”

Katanya Malaysia sedar bahawa “mekanisme rundingan 2 hala” bagi membincangkan pertikaian secara ekseklusif dengan Malaysia tidak menguntungkannya.

Akhbar berpangkalan di Hong Kong itu juga memetik sumber yang mahir mengenai hubungan China-Malaysia berkata, Beijing mencadangkan pembentukan satu mekanisme 2 hala sedemikian bagi membincangkan pertikaian secara ekseklusif dengan Malaysia – negara paling lantang yang turut menuntut hak ke atas perairan yang dipertikaikan itu sejak Dr Mahathir mengambil alih kuasa tahun lepas.

Ia berkata, China mendesak Malaysia supaya menyelesaikan pertikaian antara 2 negara itu berhubung Laut China Selatan dalam usaha melunakkan suara jiran pentingnya itu.

Beijing bertujuan merundingkan satu piagam tingkah laku di Laut China Selatan dengan negara Asean dan melengkapan deraf pertama perjanjian itu menjelang akhir tahun ini. Bagaimanapun kedua-dua belah pihak terus gagal mencapai kata sepakat, kata akhbar itu.

Ia berkata, Beijing mempunyai satu mekanisme peringkat naib menteri dengan Filipina, salah sebuah negara yang menuntut hak. Mesyuarat rasmi pertama antara 2 negara ini diadakan pada 2017.

Manila memenangi kes arbitrasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung tuntutan China ke atas Laut China Selatan.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte bagaimanapun memilih untuk mengadakan hubungan lebih rapat dengan China sebagai tukaran kepada bantuan untuk membina infrastruktur negaranya, kata akhbar itu.

Malaysia bagaimanapun enggan menerima mekanisme yang sama kerana ia melihatnya sebagai taktik “pecah dan perintah” oleh China.

Dalam temu bual radio terbaru, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah bercakap tentang perkara yang sama, dengan berkata Malaysia mahukan “penyelesaian Asean” berhubung pertikaian mengenai Laut China Selatan.

“China sebenarnya meminta setiap satu daripada 10 negara anggota Asean, melainkan beberapa negara seperti Myanmar, jika ia boleh membincangakn perkara itu secara 2 hala.

“Namun Malaysia terus bersikap tegas. Kami terus memberitahu Beijing bahawa kita akan membincangkan isu Laut China Selatan atas asas satu kumpulan.”