Menteri: Laporan penipuan buktikan pengharaman guarana di Sabah tepat

Guarana berasal daripada lembah Amazon dengan bijinya mengandungi 2 kali kandungan kafein berbanding biji kopi. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah tidak membenarkan skim guarana memasuki Sabah terbukti tepat, kata menterinya Junz Wong.

Bercakap kepada FMT hari ini, Wong berkata beliau merasa terbukti selepas menerima maklum balas daripada sesetengah kumpulan ketika beliau pertama kali mengumumkan keputusan itu bulan lalu. Kini terdapat laporan mengatakan petani dan pemilik tanah di 5 negeri ditipu untuk menyerahkan tanah mereka untuk skim yang dikaitkan dengan guarana, katanya.

Guarana adalah tumbuhan memanjat yang terdapat di lembah Amazon, dengan bijinya yang mengandungi 2 kali kandungan kafein berbanding biji kopi. Ia digunakan dalam teh herba dan minuman tenaga dan banyak dipromosikan syarikat kesihatan semula jadi.

Wong berkata keputusannya tidak membenarkan guarana dibawa masuk ke Sabah dibuat “untuk mengelak skandal kerana pada akhirnya, petani dan penduduk kampung akan menjadi mangsa utama”.

Katanya, beliau meminta mereka yang mempromosi guarana memohon kebenaran daripada Jabatan Pertanian Sabah dan mematuhi prosedur kuarantin tumbuhan.

“Bagaimanapun, hingga hari ini, orang-orang ini tidak tidak datang kepada saya. Jadi, saya ingin mengingatkan mereka supaya tidak gagal berbuat demikian.”

Wong berkata alasan utama larangan itu disebabkan keselamatan bio. Beliau juga tidak selesa dengan mereka yang menjalankan skim itu, kerana mereka mengadakan perbincangan di kampung-kampung sebelum petani dan pemilik tanah mula merasa curiga.

Menurut laporan, syarikat yang menjalankan skim tersebut mula mempromosikan herba guarana pada 2015, menjanjikan keuntungan sehingga RM250,000 setiap ekar.

Ketua Pengarah Pertanian, Ahmad Zakaria Mohamad Sidek, kemudian mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengharamkan import tanaman itu dan benihnya, kerana ia membawa hawar daun Amerika Selatan, penyakit kulat utama yang memberi kesan kepada pokok getah.

Di media sosial semalam, paparan skrin laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai guarana yang bertajuk “Skandal Buah Brazil” banyak dikongsikan yang mencetuskan perbincangan mengenai isu tersebut.

Orang ramai berkata wakil-wakil syarikat yang mempromosikan skim tersebut mengadakan seminar dan ceramah di kampung-kampung di Sabah sejak beberapa bulan lalu.