Mesir: 17 pelancong cedera berikutan letupan bom berhampiran piramid Giza

Imej yang tersebar di media sosial menunjukkan sebahagian daripada cermin bas bertaburan di tempat kejadian.

KAHERAH: 17 pelancong cedera selepas bas yang mereka naiki terkena letupan bom berhampiran sebuah tempat tumpuan pelancong di Mesir, kata pihak berkuasa hari ini.

Ketika kejadian, sebutir dikatakan bom meletup dan terkena sebuah bas, mencederakan pelancong warga Afrika Selatan dan Mesir berhampiran piramid di Giza. Tiada kematian dilaporkan, menurut sumber.

Imej yang tersebar di media sosial turut memaparkan sebahagian daripada cermin bas bertaburan di tempat kejadian.

Disember tahun lepas, 3 pelancong Vietnam dan seorang pemandu pelancong warga Mesir terbunuh selepas sebutir bom meletup dan terkena bas yang mereka naiki ketika menghampiri piramid di pinggir Kaherah.

Industri pelancongan Mesir teruk terjejas akibat siri serangan maut yang menyasarkan pelancong berikutan kebangkitan rakyat menjatuhkan Hosni Mubarak pada 2011.