MRL nafi lantik ejen, pelobi projek ECRL

MRL dan CCCC menasihati semua kontraktor mengabaikan mesej yang mendakwa mereka menerima tawaran secara terus atau mana-mana ejen yang mendakwa mereka boleh membantu mendapatkan projek ECRL.

PETALING JAYA: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menafikan pihaknya melantik ejen atau pelobi bagi memudahkan proses pra-kelayakan (Pra-Q) kepada kontraktor tempatan bagi mendapatkan tender projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam kenyataan bersama hari ini, MRL dan CCCC berkata pihaknya tidak menawarkan kontrak secara terus untuk kerja-kerja sivil ECRL, dan penyebaran laporan bahawa ejen menawarkan kontrak tersebut adalah tidak benar.

“MRL dan CCCC komited untuk memastikan amalan tadbir urus dan etika kerja yang baik dipraktikkan dalam program Pra-Q dan penilaian kontraktor tempatan untuk memastikan hanya yang benar-benar layak akan disenaraikan untuk proses seterusnya sebagai
penender yang berpotensi.

“MRL dan CCCC bersepakat untuk mematuhi piawaian akauntabiliti dan ketelusan yang tinggi bagi tujuan memastikan projek ECRL menjadi penanda aras amalan integriti dan tadbir urus yang baik,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, MRL mempelawa semua kontraktor yang berkelayakan dari seluruh negara menyertai program Pra-Q subkontraktor projek ECRL yang akan dianjurkan hujung bulan ini.

Katanya, Pra-Q ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kontraktor di Malaysia yang layak untuk mengambil bahagian dalam 40% kerja-kerja sivil projek ECRL.

“Program Pre-Q ini adalah terbuka kepada semua kontraktor tempatan yang berpengalaman dan memegang Gred CIDB G3 hingga G7 dengan Penilaian Kapasiti dan Keupayaan Kontraktor (Score) sekurang-kurangnya 2 Bintang,” kata syarikat itu memetik laporan media.

Bagaimanapun, terdapat beberapa dokumen tersebar di media sosial mengatakan ejen atau pelobi menawarkan peluang kepada kontraktor kelas G3 hingga G6 mengambil bahagian dalam kerja sivil ECRL dan mendaftarkan mereka sebagai sub kontraktor yang akan diberikan secara tawaran terus.

Mengulas lanjut, MRL dan CCCC mendesak semua kontraktor mengabaikan apa-apa mesej yang mendakwa mereka menerima tawaran secara terus atau mana-mana ejen yang mendakwa mereka boleh membantu mendapatkan projek ECRL.

“Kami berharap mana-mana kontraktor tempatan
yang menerima tawaran dan tuntutan tersebut dapat melaporkannya kepada pihak MRL dan CCCC untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Tindakan undang-undang juga akan dipertimbangkan jika perlu bagi memelihara hak kami.”