MTUC gesa wujudkan akta perlindungan atasi pasaran kerja tidak adil

MTUC menyarankan setiap syarikat perlu bertanggungjawab dengan mengambil pekerja yang berbilang kaum.

PETALING JAYA: Persatuan pekerja mencadangkan kerajaan mewujudkan satu akta perlindungan kerja bagi menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata sudah tiba masanya setiap organisasi atau syarikat mengambil pekerja mengikut pembahagian peratusan antara kaum.

“Kita lihat kerajaan perlu wujudkan satu konteks perpaduan misalnya dalam perkhidmatan awam, peratus orang Cina dan India mestilah memenuhi kuota keperluan perkhidmatan awam yang disediakan untuk mereka.

“Sebagai contoh dalam bidang ketenteraan dan kepolisian. Jika pihak ini gagal, maka kuota itu mestilah dipenuhi dengan kerahan tenaga untuk mereka memenuhi kuota disediakan bagi melindungi negara dan bertanggungjawab melindungi negara kita sendiri,” katanya kepada FMT.

Pada 17 Mei lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan program matrikulasi yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera dengan meminta golongan yang mendesak kursus pra-universiti itu dibuka kepada semua kaum juga menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu.

Bulan lepas Putrajaya berkata, ia akan mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi, tetapi pada masa sama menambah angka pengambilan pelajar daripada 25,000 kepada 40,000 orang.

Maszlee berkata, sistem kuota akan diteruskan sehingga kerajaan berjaya mengatasi masalah ketidakseimbangan pelajar di pusat pengajian tinggi, dan sehingga pasaran kerja menjadi lebih adil dalam pengambilan graduan Bumiputera.

Katanya, pasaran kerja mendiskriminasi mereka yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan juga kerana memakai tudung.

Mengulas lanjut, Halim berkata setiap syarikat perlu bertanggungjawab dengan mengambil pekerja yang berbilang kaum.

Katanya, walaupun diakui tidak menjadi satu kesalahan buat masa ini, tetapi penting bagi mereka mewujudkan satu kesefahaman kaum selain memajukan ekonomi.

Halim juga berkata kerajaan juga perlu memastikan produk mahir yang keluar dari kolej komuniti atau Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mendapat pekerjaan.

“Jika merela habis belajar tetapi tidak diguna pakai kemahiran mereka juga menjadi satu pembaziran.

“Setiap syarikat memang mahukan keuntungan dengan membayar tenaga kerja yang murah tetapi kerajaan perlu pastikan mereka ini tidak tercicir,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menyediakan satu khidmat lapangan untuk pelajar yang telah tamat pengajian mereka di universiti atau kolej.

Katanya, pelajar ini akan diminta berkhidmat selama setahun dan dibayar gaji minima sebelum diserap ke syarikat atau organisasi mengikut kemahiran mereka.