P Pinang adakan dialog mengenai sekolah terjejas dengan PIL 1

Chow Kon Yeow akan mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan yang terjejas dengan projek pembinaan lebuh raya Pan Island Link 1.

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengadakan sesi dialog mengenai sekolah yang terjejas dengan projek pembinaan lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata dialog itu akan melibatkan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan yang terjejas dalam projek itu. Kerajaan negeri juga ingin mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan berhubung isu berkenaan.

Jumaat lepas, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata kementerian akan mengatur pertemuan dengan kerajaan negeri untuk membincangkan isu ini kerana bimbang dengan kesan negatif ke atas sekolah yang terjejas.

“Semua ini (perubahan) adalah penglibatan berterusan. Apa yang kami buat ialah kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) supaya kita perlu melihat setiap sekolah (yang terjejas) dan melihat jajarannya.

“Kami akan mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan yang terjejas… dengar pandangan mereka, kembali membuat penyelarasan dan sebagainya. Tiada perkara baru kerana libat urus ini sedang dilakukan,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kepada 2,000 warga emas dan 500 anak yatim dari beberapa rumah kebajikan di Che Hoon Khor Moral Uplifting Society Penang, hari ini.

Menurut Chow, sehingga projek pembinaan PIL 1 sudah bermula, kerajaan negeri akan tetap mendengar rujukan, membuat penyelarasan, meningkatkan pengurusan, kawalan tapak dan sebagainya.

Beliau berkata proses ini adalah sebahagian daripada syarat yang perlu dipenuhi kerajaan negeri.