Pahang minta Putrajaya pertimbang bayaran royalti minyak dijanji Najib

Najib Razak pernah berjanji Pahang akan menerima wang royalti sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran selepas penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang meminta kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula bayaran royalti minyak atau wang ihsan kepada negeri ini, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata surat rasmi berhubung permohonan itu akan dikemukakan secara rasmi dalam masa terdekat, namun menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan dalam menentukan nilai yang hendak diberikan.

“Perkara ini (pemberian wang ihsan atau royalti minyak) pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu. Bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan pemberian royalti sebanyak RM100 juta kepada kerajaan negeri.

“Jadi, hari ini saya membangkitkan semula soal pembayaran royalti ini supaya dapat dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas 2019, pada Sabtu.

Majlis anjuran Yayasan Petronas yang meraikan 161 pelajar kurang berkemampuan daripada 24 buah sekolah sekitar daerah ini turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah.

Wan Rosdy berkata pemberian wang ihsan atau royalti itu, jika diluluskan kerajaan, dapat memanfaatkan rakyat di Pahang.

Untuk rekod, pada Oktober 2012 Najib mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307 oleh Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil.

Beliau dilaporkan berkata kedudukan medan minyak tersebut terletak kira-kira 160km di luar persisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang pada kedalaman air 76m.

Najib yang juga menteri kewangan ketika itu berkata Pahang dijangka menerima wang royalti sekitar RM100 juta setahun bergantung kepada anggaran pengeluaran.