PTPTN tak wajar perkenal semula sekatan ke luar negara, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada majlis berbuka puasa bersama OKU hari ini.

AMPANG: Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail berkata tidak wajar Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar.

Beliau menegaskan setakat ini kerajaan belum membuat apa-apa keputusan lagi berhubung perkara itu.

“Kena kaji balik. Lagipun sekatan ke luar negara itu kita tentang dulu pun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Orang Kurang Upaya (OKU), di sini, hari ini.

Sebelum ini, pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, perbadanan itu akan mengemukakan cadangan kepada jemaah menteri untuk memperkenalkan semula larangan keluar negara terhadap peminjam ingkar, jika rakyat mahu.

Beliau berkata, larangan tersebut adalah satu daripada cara yang berkesan untuk memastikan peminjam ingkar membayar balik pinjaman mereka.

Pada Mac, PTPTN dilaporkan tidak bercadang memperkenalkan semula larangan itu.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, PTPTN adalah satu agensi kerajaan yang baik yang memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pelajaran mereka.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa PTPTN sudah pasti menghadapi masalah jika ramai peminjam yang tidak mahu membayar balik pinjaman mereka.

Menurut rekod PTPTN, seramai 356,000 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman walaupun dalam jumlah paling minimum setiap bulan.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata, kerajaan memang mahu mengalakkan semua kementerian untuk mengambil OKU untuk bekerja dengan mereka.

Katanya, ini bagi mencapai sasaran 1% OKU bekerja dalam perkhidmatan awam negara.

“Namun memang diakui ia lambat sebab ini dari polisi lama dan kita kerajaan baru sedang cuba mewujudkan inisiatif dan dasar baru untuk mencapainya.

“Ini termasuk juga dalam sektor swasta dengan memberikan galakan seperti memperkenalkan dasar pengecualian cukai untuk mereka yang mengambil pekerja OKU,” katanya.