Reman warden asrama didakwa liwat, cabul, pelajar tahfiz disambung 7 hari

Polis berkata, lanjutan tempoh reman ke atas warden asrama yang disyaki meliwat 2 dan mencabul 3 pelajar tahfiz adalah bagi melengkapkan proses siasatan. (Gambar fail)

KANGAR: Tahanan reman terhadap warden asrama yang didakwa meliwat 2 pelajar selain mencabul 3 pelajar lain di sebuah pusat tahfiz di Simpang Empat April lalu disambung seminggu lagi sehingga 24 Mei ini berkuat kuasa semalam.

Suspek sebelum ini direman bermula 11 Mei sehingga 17 Mei.

Ketua Polis Daerah Kangar Wari Kiew berkata, lanjutan reman itu bagi melengkapkan proses siasatan polis berhubung kejadian liwat yang dilakukan oleh suspek.

“Kita ada terima maklumat positif daripada suspek bagi membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga tidak menolak mangsa yang terlibat dalam kes liwat melebihi 5 orang.

Katanya, setakat ini hanya 5 mangsa tampil membuat laporan polis.

Beliau berharap orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil membuat laporan polis.

Sebelum ini media melaporkan 2 pelajar pusat tahfiz mendakwa diliwat, manakala 3 pelajar lagi mendakwa dicabul oleh warden asrama mereka sepanjang berada di pusat tahfiz berkenaan.

Perbuatan tidak bermoral suspek terbongkar selepas seorang daripada mangsa liwat berusia 15 tahun tampil membuat aduan pada 24 April lalu, mendakwa dia diliwat dan dipaksa melakukan amang seksual di bilik warden berkenaan.

Mangsa turut mendakwa suspek mengugut memukulnya sekiranya kejadian itu dilaporkan namun mangsa yang tidak tahan diperlakukan demikian bertindak membuat aduan.