Sabah bimbang kesihatan badak sumbu Sumatra jantan terakhirnya semakin merosot

Pihak berkuasa hidupan liar merawat Tam, badak sumbu Sumatra jantan, di Rizab Hidupan Liar Tabin di Sabah. (Gambar Jabatan Hidupan Liar Sabah)

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa hidupan liar Sabah menanti dengan penuh bimbang sewaktu satu daripada 2 ekor badak sumbu Sumatra di negeri itu tidak menunjukkan respons positif terhadap rawatan.

Tam, badak sumbu jantan itu, ditangkap di Kertam, berhampiran daerah pantai timur Kinabatangan di negeri ini selepas ia ditemui merayau-rayau di sebuah ladang kelapa sawit pada Ogos 2008.

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), SOS Rhino dan WWF Malaysia mendorong Tam masuk ke dalam kurungan selepas seminggu ia menjalani pembedahan.

Ia kemudiannya dipindahkan ke Rizab Hidupan Liar Tabin (TWR) dan berada di situ sehingga kini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew berkata, pegawai hidupan liar semakin bimbang berikutan tahap kesihatan Tam yang semakin merosot.

“Selera makan dan tahap kecergasannya menurun dengan cepat sejak bulan lepas.

“Tam kini diberikan perhatian dan ubat-ubatan 24 jam.

“Ujian juga dijalankan, tetapi nampaknya satu atau lebih organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik,” katanya di sini hari ini.

Liew berkata, Tam menjadi kegemaran ramai kakitangan yang pernah bekerja dengannya kerana wataknya yang tenang.

“Harapan untuk mencari pasangannya terkubur apabila Puntung, yang ditangkap pada 2011, didapati mempunyai beberapa sista di dalam uterusnya.

“Apabila Iman ditangkap pada 2014, ia pula didapati mempunyai fibroid uterus yang besar.

“Penyakit ini adalah gambaran bilangan badak sumbu yang rendah dan kurang berjayanya inisiatif pembiakannya sepanjang dekad terakhir abad ke-20,” katanya.

Puntung dimatikan pada 2017 berikutan penyakit kanser yang menyakitkan dan tidak dapat diubati.

Sejak 2011, semua usaha yang dijalankan di Malaysia bagi menyelamatkan spesis tersebut daripada pupus tertumpu pada penggunaan teknologi reproduktif terbaru, termasuk pensenyawaan in vitro, dengan kerjasama dengan Indonesia.

“Setakat hari ini, semua usaha itu tidak berjaya,” kata Liew.

Pengarah SWD Augustine Tuuga berkata, Iman bernasib baik pulih setelah pada mulanya tidak memberi respons terhadap rawatan yang diberikan.