Saya merujuk Ambiga, Cynthia, kata Khalid berhubung isu Taman Rimba Kiara

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

PETALING JAYA: Khalid Samad hari ini menjelaskan beliau merujuk kepada 2 aktivis apabila beliau berkata mereka tidak menemuinya dalam pertikaian berterusan berhubung projek pembangunan Taman Rimba Kiara.

“Saya rasa jika anda dengar video itu anda akan faham saya merujuk kepada Ambiga dan Cynthia,” katanya kepada FMT, merujuk bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel.

Menteri Wilayah Persekutuan itu akan bertemu mereka esok.

Khalid juga merujuk kepada rakaman sidang akhbar yang dikongsi dengan FMT.

Dalam rakaman itu, Khalid didengar berkata Ambiga dan Cynthia “tidak bertemu dengannya walaupun seminit” dan mempersoalkan bagaimana mereka boleh komen selepas mendengar “pandangan satu pihak sahaja”.

Kedua-duanya, katanya, patut berjumpa dengannya daripada menyerangnya dan membuat andaian di media.

“Saya tidak kata saya tidak pernah jumpa dengan (Ahli Parlimen Segambut) YB Hannah Yeoh,” katanya dalam mesej teks kepada FMT.

Semalam, Yeoh menolak dakwaan Khalid bahawa beliau berterusan menangani isu itu melalui media dan bukan berjumpanya untuk mendapatkan penjelasan.

Beliau memberitahu sesi “town hall” dengan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bahawa terdapat sekurang-kurangnya 5 pertemuan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum majlis semalam untuk menjelaskan status cadangan projek pembangunan, yang dikatakan menceroboh taman itu.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap komen Khalid bahawa beliau “sangat kecewa” dengannya kerana terus menangani isu itu melalui media dan bukan berjumpa menteri wilayah itu untuk mendapat penjelasan.

Khalid dilaporkan berkata banyak kenyataan “membingungkan, menyakitkan dan memalukan” terhadapnya.

Hari ini, Khalid mendedahkan beliau bertemu dengan Hannah, bersama-sama dengan persatuan penduduk TTDI.

“Saya menyebut pertemuan saya dengan RA dalam video itu tetapi saya tidak kata ia bersama Hannah kerana saya ingin memberi komen tentang sikap mereka (penduduk) tanpa melibatkan YB Hannah.”

Projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila pada DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega pada April 2017 di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan 1 blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.