Seberang Perai dapat status bandar raya selepas Aidilfitri

Seberang Perai akan menjadi majlis bandar raya paling besar di Malaysia meliputi kawasan seluas 747.8 km persegi dengan penduduk seramai 946,200 orang.

GEORGE TOWN: Kabinet telah bersetuju menaikkan status Majlis Perbandaran Seberang Perai kepada sebuah bandar raya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata, kertas kerja dan formaliti lain berhubung keputusan tersebut akan disempurnakan selepas Hari Raya akan datang.

Seberang Perai akan menjadi majlis bandar raya paling besar di Malaysia meliputi kawasan seluas 747.8 km persegi dengan penduduk seramai 946,200 orang.

Sebagai sebuah majlis perbandaran ia merupakan yang terbesar di negara ini dan mentadbir 3 daerah utama dengan 54 lokaliti.

Exco kerajaan tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo sebelum ini berkata, cadangan untuk menaik taraf majlis perbandaran itu kepada status bandar raya dihantar kepada kementerian pada Disember tahun lepas.

Majlis Perbandaran Pulau Pinang dinaikkan taraf sebagai bandar raya pada 2015.

Dalam komennya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memberitahu FMT bahawa, “ia adalah satu penghormatan, dan pada masa sama merupakan tanggungjawab lebih besar”.