Afidavit polis kata hadiah, tapi PH tak akan ikut ‘rule of law’, kata Najib

PETALING JAYA: Najib Razak malam tadi membidas Pakatan Harapan berhubung usaha melucut hak ke atas barang-barang yang disita dari rumahnya 1 tahun dulu, mendakwa afidavit polis mengesahkan sebilangan barang-barang tersebut adalah hadiah yang diberi kepadanya dan keluarga.

Beliau berkata mengikut undang-undang negara, semua barang itu perlu dikembalikan selepas disita 1 tahun jika pihak berkuasa gagal membuktikan pembeliannya menggunakan dana haram, dan tidak membuat pertuduhan jenayah terhadap pemilikan barangan terbabit.

“Tapi PH tidak akan mengikut ‘Rule of Law’ kerana mereka masih mahu mainkan persepsi,” katanya di Facebook. “Oleh itu mereka menggunakan kaedah saman sivil, bukan dakwaan jenayah.”

“Ini tindakan terpaksa kerana mereka sendiri gagal untuk membuat pendakwaan jenayah tetapi masih mahu teruskan persepsi, fitnah dan propaganda mereka terhadap saya dan keluarga.”

Beliau memuatnaik keratan dokumen yang dikatakan afidavit bagi notis kerajaan untuk lucut hak ke atas barang-barang itu di laman sosial itu, dan mendakwa alasan kerajaan untuk lucut hak sivil itu berdasarkan afidavit yang diberi oleh 3 pegawai polis.

Najib berkata mereka mendakwa dia menerima dana yang dikatakan dari 1MDB, dan oleh itu barang-barang itu dipercayai dibeli dengan dana itu.

“Tetapi tidak disebutkan sekalipun ataupun dibuktikan dalam tindakan sivil kerajaan bagaimana dana itu digunakan untuk membeli barang-barang yang dirampas itu,” katanya.

Najib berkata mereka juga mendakwa nilai aset yang dirampas tidak setara dengan jumlah pendapatan. “Itu sahaja,” katanya.

“Lebih menakjubkan ialah affidavit pegawai polis sendiri menyatakan selepas mereka menyiasat, mereka mendapati sebilangan barang-barang ini hadiah yang diberi kepada saya dan keluarga saya. Tapi tidak dikembalikan kerana dikatakan ‘tidak mempunyai bukti kukuh’,” katanya.

Najib berkata ramai pemberi hadiah itu disoal siasat oleh polis selama tempoh 1 tahun ini dan “mereka akui memberi hadiah kepada kami”, seperti di majlis perkahwinan anak perempuannya pada awal 2015.

“Tetapi semua hadiah-hadiah perkahwinan ini juga dirampas oleh kerajaan PH dan kini dituduh dibeli dengan duit 1MDB atau dibeli oleh Jho Low,” katanya.

Najib berkata afidavit itu juga membuktikan dia melaporkan dan membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri “setiap tahun”.

“Ini menyangkal segala propaganda PH bahawa saya tidak pernah melaporkan pendapatan saya kepada kerajaan,” katanya.

Jabatan Peguam Negara pada 7 Mei lepas memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah kereta yang dirampas daripada Najib, isterinya, Rosmah Mansor, 3 anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Antara barangan yang disita itu ialah, 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, USD100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah 4 utas jam tangan pelbagai jenama, 4 buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018.

Selain itu, wang berjumlah lebih RM18 juta dan apa-apa faedah ke atasnya turut disita dalam beberapa akaun di Bank Islam Malaysia Berhad, Al-Rajhi Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad, Public Bank Berhad, AmBank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad antara 16 Ogos 2018 dan 11 Mac 2019.

Turut dirampas 1 unit hartanah di Mukim Bandar Tanjong Bungah, Pulai Pinang milik 1 responden.