Amaran perjalanan AS: Pengusaha hotel Sabah terus optimis

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia cawangan Sabah dan Labuan, Gordon Seet (kiri) bersama jawatankuasa perhubungan media baru beliau.

KOTA KINABALU: Pengusaha hotel di negeri ini terus yakin bahawa perniagaan akan pulih walaupun Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan nasihat perjalanan yang tidak memberangsangkan.

Pegawai pelancongan negeri berusaha keras bagi mengatasi kesan penyenaraian negeri itu ke dalam senarai “K” Jabatan Negara AS, kata Gordon Seet, pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, perniagaan hotel dan hospitaliti mencatatkan pertumbuhan tahunan yang konsisten dari segi jumlah ketibaan dan kadar tempahan bilik hasil daripada lebih banyak penerbangan terus dari pelbagai bandar raya utama ke Sabah, selain aktiviti promosi pelancongan di Eropah, Australasia, Asia Timur dan tempat lain.

Usaha mempromosi Tawau melalui kempen “Cuti-cuti Tawau” yang dilancarkan pada Mac lepas merupakan langkah positif bagi meningkatkan keyakinan perjalanan ke pantai timur negeri itu, kata Seet.

“Usaha ini telah mula menyemarakkan kegiatan pelancongan di pantai timur Sabah secara keseluruhan,” katanya.

Usaha berterusan akan mengubah keadaan bagi sektor pelancongan dan komuniti perniagaan umumnya.

Nasihat perjalanan AS dikeluarkan pada 9 April berikutan kebimbangan mengenai kegiatan penculikan di bahagian tertentu negara ini.

Seet berkata, insiden (jenayah rentas sempadan) yang berlaku beberapa tahun lepas mempunyai kesan negatif ke atas pantai timur Sabah, tetapi MAH yakin pihak polis dan Pemerintah Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah sentiasa akan memastikan keselamatan kawasan tersebut pada setiap masa.

Pengerusi Tourism Malaysia Ahmad Shah Hussein Tambakau dilaporkan berkata, ketibaan pelancong tidak terjejas berikutan amaran perjalanan itu, tetapi Malaysia mahu AS mengeluarkannya daripada senarai “K” itu kerana ia boleh mempengaruhi persepsi negara lain.