Bawah kamu, Petronas juga jual saham kepada syarikat asing, Tony jawab Najib

Tony Pua berkata kenyataan Najib Razak yang ‘berputar-belit’ dan ‘bercanggah-canggah’ membuktikan beliau tidak jujur.

PETALING JAYA: Tony Pua menepis kenyataan Najib Razak mengenai kemasukan pelaburan asing langsung pada suku pertama tahun ini, mengatakan bawah pentadbirannya, Petronas juga menjual saham kepada syarikat asing dan diraikan sebagai aliran masuk FDI “paling besar dalam sejarah negara”.

Setiausaha politik menteri kewangan itu berkata Petronas pada 2017 menjual 50% daripada pegangan sahamnya dalam projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor kepada syarikat Saudi Aramco milik Arab Saudi dengan nilai AS$7 bilion.

Tony tertanya adakah bekas perdana menteri itu kini mahu mempertikaikan pencapaiannya ketika itu.

“Secara jelas, pendirian dan kenyataan Najib yang berputar-belit dan bercanggah-canggah membuktikan bahawa beliau bukan sahaja tidak jujur, tetapi hanya berniat jahat untuk terus menipu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib pada 18 Mei lepas menyindir Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kemasukan FDI pada suku pertama tahun ini, mengatakan pelaburan dari Jepun dan Austria adalah penjualan aset yang diumumkan pada suku ke-4 tahun lepas, tetapi wang hasil penjualan itu baru diperolehi tahun ini.

Lim sebelum itu berkata FDI naik ke tahap tertinggi iaitu RM21.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 94.8% berbanding RM11.2 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun lepas. Beliau menjelaskan lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion dari Jepun, RM3.7 bilion dari Austria dan RM2.8 bilion dari Hong Kong.

Najib bagaimanapun berkata RM8.4 bilion dari Jepun itu adalah penjualan IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui & Co Ltd, manakala RM3.7 bilion dari Austria itu merupakan penjualan 50% kepentingan dalam Sapura Upstream Sdn Bhd kepada OMV.

“Oleh itu ia dikira sebagai pelaburan direalisasikan untuk suku pertama 2019 ini. Bolehlah jual lagi banyak aset negara dan dipanggil sebagai pelaburan asing,” katanya di Facebook.

Tony menjawab pembelian sebahagian saham IHH oleh Mitsui daripada Khazanah Nasional Bhd itu merupakan satu pelaburan yang besar dan penting kerana ia menunjukkan keyakinan dan kepercayaan pelabur asing kepada syarikat dan ekonomi negara.